Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

143) KESAMARATAAN ELAUN DAN PERUNTUKAN UNTUK KETUA KAMPUNG, KETUA KAMPUNG BARU DAN KETUA KOMUNITI INDIA

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah elaun dan peruntukan Ketua Kampung untuk Kampung Tradisi dan Kampung Baru serta Ketua Komuniti India adalah berbeza?

    Negeri Selangor terdiri dari sembilan (9) buah daerah dan mempunyai sebanyak  371 buah Kampung Tradisi yang di tadbir oleh Ketua Kampung Tradisi, 78 buah Kampung Baru yang ditadbir oleh Ketua Kampung Baru dan 48 buah kawasan komuniti India yang ditadbir oleh Ketua Komuniti Kaum India.

    Pemberian peruntukan elaun kepada ketiga-tiga ketua kampung ini; iaitu Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru serta Ketua Komuniti India adalah berdasarkan kepada beberapa asas pertimbangan, diantaranya ialah dari segi bilangan penduduk yang diwakili, tugas dan tanggungjawab, luasnya kawasan pentadbiran dan juga populasi pengundi di sesebuah kawasan.

    Ketua Komuniti India merupakan jentera pentadbiran diperingkat akar umbi untuk membantu Kerajaan Negeri menyalur dan menyampaikan maklumat serta mendapatkan maklumbalas, pendapat dan cadangan bagi permasalahan yang timbul bagi sesebuah lokaliti yang mempunyai kepadatan populasi masyarakat India sahaja.

    Sebaliknya, Ketua kampung Tradisi dan juga Ketua kampung Baru, mereka merupakan wakil pendududuk dan bertanggung jawab kepada kesemua penduduk kampung tanpa mengira kaum. Bilangan penduduk yang diwakili adalah lebih ramai, tugas dan tanggungjawab yang lebih rencam dengan kawasan pentadbiran yang lebih luas.

    Sekiranya terdapat masyarakat India di dalam sesebuah Kampung tradisi atau pun Kampung Baru, Ketua kampung Tradisi atau pun Ketua Kampung Baru perlu turut bertanggungjawab menjaga kemaslahatan dan kebajikan masyarakat India yang berada di dalam kawasan pentadbiran mereka.

    Walaupun Ketua kampung Tradisi dan juga Ketua kampung Baru hanya diberikan tugas untuk mengetuai sesebuah kampung, tetapi tanggungjawab menjaga kampung tersebut adalah semakin mencabar dengan keadaan negeri yang semakin membangun dan mendapat pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya penduduk kampung yang terdedah dengan masalah kemiskinan dan gejala sosial yang semakin berleluasa dikalangan golongan remaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.