Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

183) KESAMBUNGAN KEPADA SISTEM PENGANGKUTAN AWAM

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar-dasar sedia ada dan/atau arahan yang telah diberikan kepada Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan kesambungan penduduk-penduduk kepada sistem pengangkutan awam, terutamanya dari segi pembangunan?

    Terdapat dua belas (12) Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor yang mempunyai demografi serta kepadatan penduduk yang berbeza mengikut kawasan masing-masing. Oleh itu, perancangan bagi pembangunan pengangkutan awam turut berlandaskan kesesuaian kawasan sebagai contoh, perancangan pengangkutan awam di bandar seperti Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam akan lebih menumpukan pengangkutan awam yang mempunyai connectivity dengan jaringan pengangkutan awam sedia ada seperti komuter, Bus Rapid Transit (BRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT). Bagi Kerajaan Tempatan di kawasan yang luar bandar, perancangan pengangkutan akan lebih tertumpu kepada meningkatkan jaringan sistem pengangkutan awam seperti hub pengangkutan yang lebih baik dan menjadi tempat tumpuan semua pengangkutan awam seperti bas dan teksi serta fasiliti kemudahan pengangkutan yang lebih baik dan sempurna.

    Kerajaan Negeri akan memastikan Kerajaan Tempatan atau PBT untuk memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan penduduk dengan sistem pengangkutan awam, antara lainnya adalah dasar dan arahan yang perlu dilaksanakan seperti berikut:

    • Memastikan perancangan pembangunan pengangkutan awam yang akan dilaksanakan oleh PBT turut mengambilkira laporan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) yang telah diedarkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan sebagai sumber rujukan dan Kerajaan Negeri turut mengesyorkan supaya setiap PBT menyediakan Pelan Induk Pengangkutan PBT yang lebih spesifik dan terperinci;

     

    • Mewajibkan penubuhan Unit Pengangkutan di setiap PBT. Penubuhan unit ini dijangka dapat memastikan perancangan dan pelaksanaan projek-projek pengangkutan yang lebih baik, fokus dan tersusun;
    • Menggalakkan PBT melaksanakan program Bike Sharing di kawasan- kawasan yang sesuai berdasarkan garis panduan Bike Sharing yang telah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak; dan
    • Memastikan PBT menyediakan infrastruktur laluan pejalan kaki yang selamat untuk kemudahan pengguna pengangkutan

    Kerajaan Negeri amat yakin dengan usaha dan perancangan yang dilaksanakan oleh semua PBT di Selangor akan memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam memastikan jaringan sistem pengangkutan awam lebih efisyen dan menyeluruh.

Lampiran

Tiada Lampiran.