Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

167) KESAN PENJAJARAN SEMULA PROJEK ECRL

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kesan sosio-ekonomi dan alam sekitar akibat penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada Kerajaan dan rakyat Negeri Selangor?

    Cadangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah tertakluk kepada penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) di bawah Aktiviti 16(b), Jadual Kedua [Sub-perenggan 3(1)], Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015. Laporan EIA bagi cadangan projek ini perlu menjalankan kajian kesan kepada alam sekeliling dan mencadangkan langkah-langkah kawalan yang berkesan, akibat  dari pelaksanaan cadangan projek ini dan seterusnya Laporan EIA ini akan dinilai di Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Putrajaya. Sehingga kini, tiada maklumat lanjut kesan ke atas sosio ekonomi dan alam sekitar akibat penjajaran semula Projek ECRL ini memandangkan Laporan EIA bagi penjajaran semula Projek ECRL ini masih belum dikemukakan ke Jabatan Alam Sekitar.

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang digantung pelaksanaannya bermula daripada 3 Julai 2018 sehingga 12 April 2019. Namun, rundingan semula telah diadakan bagi menentukan hala tuju projek dengan Kerajaan Republik Rakyat China dan pihak China Communications Construction Company Ltd. (CCCC). Hasil utama rundingan semula tersebut adalah pengurangan kos daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

    Pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion berjaya dicapai melalui siri semakan semula aspek kejuruteraan dan kajian kejuruteraan nilai (value engineering) yang menyeluruh merangkumi semua aspek pelaksanaan projek. Kajian teknikal ini dijalankan bersama di antara pemilik projek yang dilantik Kerajaan iaitu Malaysia Rail Link (MRL) dan CCCC dan hasil utama kajian adalah perubahan jajaran ECRL melibatkan jajaran di antara Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan jajaran di antara Mentakab, Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, jajaran baru ECRL tidak akan melalui kawasan sensitif di Negeri Selangor iaitu Permatang Kuartza yang dirancang untuk dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Selain itu, jajaran baru dari Mentakab ke Pelabuhan Klang akan melalui daerah Jelebu, Negeri Sembilan juga berjaya mengurangkan kuantiti kerja-kerja rawatan tanah dan bilangan terowong serta laluan bertingkat yang perlu dibina sekaligus mengurangkan kos keseluruhan projek.

    Perubahan jajaran tersebut memerlukan beberapa kelulusan lain untuk dikemukakan seperti Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Assessment Report), Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment). Hasil maklum balas dan kajian-kajian yang akan dilaksanakan akan mengambilkira kesan sosio-ekonomi dan alam sekitar bagi jajaran baru projek ECRL termasuk jajaran melibatkan kawasan di dalam Negeri Selangor.

    Secara umumnya, kawasan-kawasan yang akan terlibat dengan pembangunan projek ini pasti menerima kesan daripada pelbagai aspek seperti persekitaran, sosial dan pertumbuhan ekonomi. Namun, Kerajaan Negeri yakin bahawa pembangunan yang dilaksanakan mengikut akta dan peraturan yang ditetapkan mampu mengurangkan risiko serta meminimakan impak yang dikhuatiri menjejaskan kualiti hidup mahupun pembangunan mampan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.