Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

28) KESEDARAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tahap kesedaran alam sekitar di kalangan rakyat?

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor sentiasa bekerjasama rapat dengan

    Agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta komuniti korporat dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs) di dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar secara berterusan untuk menjana kesedaran masyarakat terhadap mencintai alam sekitar.

    Komitmen yang tinggi di kalangan rakyat di Negeri Selangor di dalam membantu Kerajaan memantau isu-isu alam sekitar melalui aduan-aduan pencemaran alam sekitar yang diterima dan juga penyertaan aktif mereka di dalam pelbagai program dan kempen kesedaran alam sekitar yang dianjurkan menunjukkan tahap kesedaran terhadap kepentingan memulihara alam sekitar di kalangan rakyat Negeri Selangor telah meningkat dan secara tidak langsung menyumbang kepada penambahbaikan pengurusan alam sekitar yang lebih berkesan di Negeri Selangor.  Melalui kes-kes aduan pencemaran alam sekitar yang diterima daripada rakyat telah menambahbaik lagi proses-proses industri yang lebih mesra alam, perancangan pembangunan dan prasarana yang lestari selain memperkasakan lagi strategi dan kapasiti penguatkuasaan di kalangan jabatan atau agensi penguatkuasa yang berkenaan di Negeri Selangor.

    Untuk memantapkan lagi program dan kempen kesedaran alam sekitar di kalangan rakyat di Negeri Selangor, JAS Negeri Selangor telah mengambil inisiatif melancarkan Program Rakan Alam Sekitar (RAS)  sejak tahun 2009 mengikut kawasan Parlimen di mana wakil rakyat atau pemimpin masyarakat bersama-sama rakyat melaksanakan program kesedaran alam sekitar secara hands-on dan juga setiap ahli RAS juga akan bertindak sebagai mata dan telinga Kerajaan di dalam menangani isu-isu alam sekitar secara kolektif. Objektif utama RAS ialah:-

    • Memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat;
    • Menanamkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama; dan
    • Menyediakan saluran yang tepat bagi orang awam membuat aduan dan pandangan berkaitan alam sekitar kepada agensi-agensi Kerajaan berkenaan.

    Sepertimana usaha-usaha kesedaran sebelum ini, JAS Negeri Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program kesedaran melalui penganjuran seminar, sesi dialog dengan pihak industri, ceramah, pameran dan sebaran maklumat melalui media massa mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, penyebaran risalah-risalah dan buletin alam sekitar, kempen dan ops penguatkuasaan asap hitam kenderaan dan di premis-premis kilang serta mengadakan Hari Bertemu Pelanggan.

    Di antara program-program kesedaran alam sekitar yang berjaya dilaksanakan dengan berkesan di peringkat generasi muda khususnya pelajar-pelajar sekolah di Negeri Selangor ialah program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS) dan Kem Pra-Sekolah Lestari.

    JAS Negeri Selangor juga terlibat secara langsung di dalam smart partnership dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk NGOs di dalam program-program kesedaran alam sekitar yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.