Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

188) KESESAKAN JALAN RAYA

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di jalan-jalan raya utama di lembah Klang dan dalam kawasan- kawasan bandar terutamanya di waktu-waktu puncak supaya dengan langkahlangkah tersebut dapat mengurangkan kepayahan dan trauma yang dihadapi oleh pengguna-pengguna jalan raya terutamanya golongan pekerja dan penjawat awam akibat kesesakan lalu lintas tersebut.

    Kesesakan lalulintas di jalan-jalan utama dan kawasan bandar sekitar Lembah Klang terutamanya pada waktu puncak berpunca daripada:

    1. Kadar Trafik yang tinggi terutamanya di waktu puncak melebihi 10,000 unit kenderaan sejam (passenger car unit per hour, pcu/hr) melebihi kapasiti jalan sedia ada.
    2. Keadaan jalan-jalan yang rosak dan beralun disebabkan melebihi jangka hayat rekabentuk (20 tahun).
    3. Terdapat banyak persimpangan yang berdekatan antara satu sama lain.
    4. Kewujudan gerai, kedai dan bengkel haram di dalam rizab jalan JKR.
    5. Kehadiran kenderaan berat terutamanya pada waktu puncak.
    6. Kenderaan berat yang diletakkan secara tidak tersusun dibahu jalan.
    7. Kerosakan lampu isyarat (disebabkan oleh vandalisme, litar pintas).

    viii) Ketidaklancaran perjalanan kenderaan disebabkan adanya simpang lampu isyarat.

    Oleh itu, perancangan untuk mengatasi kesesakan trafik bagi program jangka pendek dan jangka panjang telah dirangka seperti berikut:

    Jangka Pendek:

    1. Untuk meningkatkan kapasiti kenderaan jalan dan juga masalah persimpangan, beberapa jalan telah dan sedang dinaiktaraf. Dianggarkan 55 km. Diantaranya jalan-jalan tersebut ialah Jalan Reko (B17) di Kajang, Jalan Klang Lama di Petaling, Jalan Monterez, sebahagian Jalan Rawang Tasik Puteri (B27), Persiaran Kuala Selangor di Shah Alam, Jalan Raja Muda Musa (B42) di Kuala Selangor, Jalan Meru Puncak Alam di Klang, sebahagian Jalan Jenderam (B48) di Sepang dan Jalan Sungai Panjang (B44) di Sabak Bernam.
    2. Melaksanakan program Intelligent Traffic Light System (ITS) bagi mengesan kerosakan lampu isyarat dengan cepat melalui sistem pesanan ringkas. Bagi tujuan ini, projek perintis telah dilaksanakan di daerah Petaling.
    • Melaksanakan program ‘Green wave’ untuk memastikan kelancaran

    perjalanan kenderaan. Ianya telah dilaksanakan di Jalan Persekutuan 5 di Kuala Selangor, Jalan Monford TTDI Jaya daerah Petaling, Laluan Persekutuan 1 Pekan Kajang, Persiaran Raja Muda Musa di Shah Alam dan di Laluan Persekutuan FT 3215 di Pekan Seri Kembangan

    Jangka Panjang:

    1. Menyokong serta meluluskan rancangan pembinaan Lebuhraya oleh

    Kerajaan Persekutuan iaitu:

    1. Lebuhraya Pantai Barat (WCE)
    2. Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH)
    3. Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP)
    4. Lebuhraya Sg. Besi-Ulu Klang (SUKE)
    5. Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX)
    6. Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR)
    • Memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan pengangkutan awam iaitu LRT dari Kelana Jaya ke Puchong dan juga MRT dari Sg. Buloh ke Kajang.
    • Membina Jambatan Ke-3 Klang
    • Mencadangkan kepada pihak PBT untuk membuat penguatkuasaan ke atas gerai-gerai haram yang dibina dan juga kenderaan berat yang diletakkan di bahu jalan.
    • Mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menghalang kenderaan berat daripada menggunakan jalan utama pada waktu puncak.
    • Membuat kajian lalulintas secara menyeluruh untuk Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.