Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

197) KESESAKAN LALULINTAS DI LEMBAH KLANG

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pelan tindakan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang?

    Isu kesesakan lalu lintas telah menghantui rakyat Negeri Selangor terutama di kawasan bandar. Menyedari perkara ini, Kerajaan sentiasa komited bagi menyediakan perancangan infrastruktur yang perhubungan dan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat. Ke arah usaha tersebut, Kerajaan telah melantik perunding yang berkelayakan untuk menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor sebagai satu dokumen asas ke arah perancangan pengangkutan awam yang mencukupi, kebolehsampaian, ketepatan masa, user friendly, selamat, strategi dan komprehensif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Negeri

    Apabila    disiapkan    kelak    kajian    ini    akan    dapat    menentukan halatuju pengangkutan awam Negeri Selangor seperti berikut :

    • Mencapai sasaran nisbah pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian adalah 60:40;
    • Menghasilkan Pelan Induk Pengangkutan Awam yang komprehensif meliputi pelan jaringan lebuhraya dan pengangkutan awam semasa dan masa hadapan untuk rujukan Kerajaan Negeri, Persekutuan, agensi terlibat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan penyelarasan pengurusan dan pelaksanaan yang lancar (seamless) di setiap peringkat;
    • Mencadangkan strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta agensi bertanggungjawab terutama bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam meliputi perkhidmatan LRT, MRT,BRT, feeder bus, perkhidmatan bas dan teksi);
    • Mencadangkan dan mengintegrasikan jalan raya dan lebuhraya sedia ada dengan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang;
    • Mencadangkan dan menggalakkan penggunaan kemudahan sokongan bagi lorong pejalan kaki, lorong berbasikal dan program car free di dalam kawasan bandar;
    • Mencapai keseimbangan antara pembinaan lebuhraya dan penyediaan sistem pengangkutan awam melalui kajian yang telus dan terperinci;
    • Menganalisis konsep Transit Oriented Development (TOD) bagi membolehkan pembangunan perumahan dan komersil di Lembah Klang diintegrasi dengan penyediaan infrastruktur pengangkutan

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga komited bagi membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di negeri Selangor dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui penyediaan perkhidmatan bas secara percuma ‘Bas Selangorku’ kepada komuniti di MBSA, MPSJ dan MPK yang telah pun dilancarkan pada Julai 2015 yang lalu. Perkhidmatan ini juga akan diperluaskan lagi di kawasan MPAJ dan MPKj. Pelaksanaan ini telah dirangka dengan mengambilkira aspek-aspek seperti pemilihan laluan di kawasan berkepadatan tinggi untuk disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, keutamaan laluan adalah di kawasan yang tiada perkhidmatan bas sedia ada, manakala lokasi tumpuan adalah seperti pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan awam.

    Setiap PBT juga sentiasa bersedia dalam menangani masalah kesesakan rangkaian jalanraya setempat kesan dari kepesatan pembangunan. Menyedari hal ini, PBT juga menyediakan Laporan Kajian Lalulintas secara menyeluruh bagi kawasan di bawah pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh, pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menyediakan kajian dengan jangkamasa sehingga tahun 2030 dengan mengambilkira perkara-perkara seperti berikut:

    • Analisis Trafik
    • Penilaian Kesan Trafik
    • Impak Lalulintas Mikro
    • Sirkulasi Trafik

Lampiran

Tiada Lampiran.