Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

108) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak daripada peruntukan RM1 juta untuk kesihatan mental telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri?

    Bermula tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk pelaksanaan program bagi menangani isu kesihatan mental. Sebahagian daripada peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan program- program kaunseling secara kumpulan atau individu yang dirancang untuk diadakan pada bulan September. Program ini merangkumi pelbagai jenis isu seperti isu kekeluargaan, kerjaya, kewangan, personaliti dan perhubungan sesama masyarakat. Program mendekati golongan sasar tersebut akan dikendalikan oleh petugas yang merupakan seorang Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan tertakluk dengan segala peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Kaunselor 1998.

    Selain itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan kemudahan sesi kaunseling melalui maya di mana masyarakat boleh berkongsi masalah serta mendapatkan nasihat tanpa perlu bersemuka dengan kaunselor. Melalui kaedah ini, Individu yang mengalami tekanan atau kemurungan tidak lagi berasa malu untuk berkongsi dengan pihak kaunselor. Perkongsian melalui panggilan telefon juga lebih memudahkan untuk mereka meluahkan masalah tanpa rasa malu.

    Kerajaan Negeri juga membuka peluang kepada organisasi bukan kerajaan untuk turut serta dalam bersama-sama menjayakan kempen-kempen ke arah mengurangkan kadar penyakit mental terutama kepada rakyat negeri Selangor.

    Cabaran melaksanakan program kesihatan mental adalah untuk mengenalpasti individu yang mempunyai tanda-tanda ke arah penyakit mental kerana ianya lebih bersifat dalaman. Pesakit tidak akan menunjukkan simptom awal dan hanya dapat dikesan apabila berada di satu tahap yang memerlukan rawatan. Sehubungan itu, program yang dirancang perlulah bersifat holistik dan menyeluruh agar dapat mengurangkan kadar penyakit mental pada masa akan datang. Seperti yang diketahui umum, kaunseling didapati terbukti dalam membantu individu mengurangkan tekanan dan seterusnya mengelakkan diri dari mendapat penyakit mental kelak.

    Pada masa ini melalui Pusat Kaunseling Selangor, Kerajaan Negeri telah menyediakan perkhidmatan kaunseling melalui panggilan telefon mahupun temujanji bersemuka di beberapa pusat seperti di PKNS Shah Alam, di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang. Penambahan Pusat Kaunseling di daerah-daerah akan diangkat untuk pertimbangan sekiranya pusat kaunseling sedia ada digunakan sebaiknya.

Lampiran

Tiada Lampiran.