Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

179) Kesihatan Mental

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk menangani kesihatan mental pasca-Covid-19?

    Mengambil kira akan berlakunya peningkatan kes-kes berkaitan kesihatan mental berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di Malaysia, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal bagi pengurusan kesihatan mental di kalangan rakyat negeri Selangor. Di antara program yang telah dijalankan adalah program pendidikan mengenai kesihatan mental yang dijenamakan sebagai ‘Awak OK?’ yang disiarkan secara langsung dan ulangan di platform media sosial. Program ini telah dijalankan selama 22 episod keseluruhan yang mengupas isu-isu berkaitan kesihatan mental serta bagaimana masalah ini boleh dirawat dan di mana bantuan perlu diperolehi. Program ini merupakan kolaborasi di antara beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pakar daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Kerajaan Negeri akan turut melaksanakan program pasca PKP yang berkesinambungan daripada program ‘Awak OK?’ yang mana sebanyak 8 episod tambahan akan dikupas untuk memberi pendedahan tambahan serta mempromosikan bantuan-bantuan yang boleh diperolehi oleh rakyat yang mengalami gangguan kesihatan mental. Bagi memberi impak tambahan, Kerajaan Negeri akan turut memperkenalkan program kumpulan sokongan kaunseling dan psikologi bersama pakar dan pesakit yang telah sembuh yang dinamakan sebagai ‘Kumpulan Sokongan: Awak OK?’. Program ini mensasarkan seramai 300 orang pesakit secara percuma dan akan dijalankan sebanyak enam (6) sesi bagi setiap pesakit.

Lampiran

Tiada Lampiran.