Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

52) KEWUJUDAN PEKERJAAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah serta sektor pekerjaan yang telah berjaya diwujudkan untuk setiap tahun dalam tempoh 5 tahun lalu (2015-2019)?

    Statistik guna tenaga suku tahunan diperoleh daripada Survei Guna Tenaga (SGT) yang dilaksanakan secara suku tahunan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi kesemua aktiviti utama ekonomi. Reka bentuk pensampelan bagi survei ini adalah bagi mengukur statistik mengikut kategori industri di peringkat nasional. Oleh itu, statistik di peringkat negeri tidak tersedia melalui survei tersebut.

    Berdasarkan Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Keempat 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jawatan merujuk kepada hasil tambah jawatan diisi dan kekosongan. Jawatan sektor swasta meningkat sebanyak 249 ribu dari tahun 2015 kepada 8,661 ribu pada 2019. Pada tahun 2019, dari segi kemahiran, jawatan kategori mahir terdiri daripada 24.3% pata 2019 manakala kategori separuh mahir terdiri daripada 62.4%. Mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan terdiri daripada 51.6% daripada jawatan. Perincian statistik jawatan mengikut aktiviti ekonomi dan kemahiran adalah seperti di Lampiran 1.

    Jumlah kekosongan di Malaysia pada tahun 2018 dan 2019 adalah dalam lingkungan 197 ribu hingga 198 ribu. Dari segi kemahiran, lebih 50% kekosongan jawatan dalam kategori separuh mahir. Sebahagian besar kekosongan jawatan adalah si sektor Pembuatan dengan 109 ribu pada tahun 2019. Perincian statistik kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi dan kemahiran adalah seperti di Lampiran 2.

    Berdasarkan Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Keempat 2019 yang dikeluarkan DOSM, pewujudan jawatan pada tahun 2018 adalah 101 ribu manakala pada tahun 2019 adalah 104 ribu. Pewujudan jawatan bagi kategori mahir pada tahun 2019 adalah 43% diikuti 49.2% bagi separuh mahir. Mengikut sektor ekonomi pada tahun 2019, 49.2% pewujudan jawatan di sektor Perkhidmatan. Perincian statistik pewujudan jawatan mengikut ekonomi dan kemahiran adalah seperti di Lampiran 3.

    Kadar jawatan diisi ialah bilangan jawatan diisi berbanding jawatan yang dilaporkan dalam bentuk peratus. Secara keseluruhannya kadar kekosongan mencatat julat daripada 97.2% hingga 97.7%. Pada 2019 kadar jawatan diisi adalah 97.7%. Kadar jawatan diisi bagi kategori mahir adalah 97.7% manakal separuh mahir adalah 98.0%. Mengikut sektor ekonomi, kadar jawatan diisi paling tinggi ialah bagi sektor Perlombongan dan Pengkuarian dengan 99.7% diikuti 99.2% bagi sektor Perkhidmatan. Perincian statistik kadar jawatan diisi mengikut aktiviti ekonomi dan kemahiran adalah seperti di Lampiran 4.

    Statistik guna tenaga suku tahunan diperoleh daripada Survei Guna Tenaga (SGT) yang dilaksanakan secara suku tahunan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi kesemua aktiviti utama ekonomi. Penyusunan statistik ini adalah berdasarkan rangka kerja dan garis panduan yang disyorkan oleh badan antarabangsa iaitu International Labour Organisation (ILO) dan amalan terbaik organisasi statistik negara lain.

    Statistik utama dari sudut permintaan buruh iaitu jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan telah diterbitkan secara suku tahunan berdasarkan suivei ini mulai suku tahun rujukan pertama 2015 dalam laporan Statistik Guna Tenaga.

    Statistik yang dilaporkan adalah mengikut lima (5) sektor utama ekonomi iaitu Pertanian, Perlombongan & Pengkuarian, Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan yang mana turut memaparkan statistik mengikut kemahiran.

    Jawatan merujuk kepada jumlah buruh yang diperlukan oleh pertubuhan untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan pada satu masa tertentu yang merangkumi jawatan diisi dan kekosongan.

    Jawatan diisi merujuk kepada individu yang bekerja pada akhir bulan setiap suku tahun.

    Termasuk:

    • Pekerja sepenuh masa dan separuh masa;
    • Pekerja tetap, sementara atau bermusim;
    • Pekerja bergaji bulanan dan pekerja yang dibayar gaji berdasarkan jam bekerja;
    • Pekerja yang sedang bercuti jangka pendek seperti cuti sakit atau cuti rehat; dan
    • Pekerja yang baru diambil bagi mengisi kekosongan pada suku tahun berkenaan.

     

    Pekerja sepenuh masa

    Pekerja sepenuh masa merujuk kepada mereka yang biasanya bekerja untuk sekurang-kurangnya 6 jam sehari dan/ atau 20 hari sebulan.

    Pekerja sambilan

    Pekerja sambilan merujuk kepada mereka yang biasanya bekerja untuk kurang daripada 6 jam sehari dan/ atau kurang daripada 20 hari sebulan.

    Tidak termasuk:

    • Pemilik perseorangan dan rakan niaga;
    • Pekerja keluarga tanpa gaji;
    • Pekerja yang terlibat dalam mogok sepanjang suku tahun berkenaan;
    • Pekerja yang bercuti tanpa gaji sepanjang suku tahun berkenaan; dan
    • Pekerja yang dibekalkan oleh agensi lain seperti subkontraktor dan perunding.

     

    Kekosongan merujuk kepada jawatan yang belum diisi pada akhir setiap suku tahun. Sesuatu jawatan dianggap kosong jika memenuhi kriteria berikut:

    • Sesuatu jawatan wujud dan tersedia untuk diisi. Jawatan tersebut termasuk sepenuh masa/ separuh masa, tetap, sementara atau bermusim;
    • Kerja tersebut boleh bermula dalam tempoh masa 30 hari sekiranya calon yang sesuai diperoleh dalam tempoh tersebut; dan
    • Majikan secara aktif cuba mendapatkan calon termasuk membuat pengiklanan mengenai kekosongan jawatan, mengeluarkan notis, memaklumkan kepada agensi pekerjaan awam, swasta atau kesatuan pekerja serta telah/ akan menghubungi, menemu ramah atau memilih pemohon yang telah membuat permohonan.

     

    Tidak termasuk:

    • Kekosongan yang hanya boleh diisi oleh pekerja sedia ada kerana pertukaran dalaman, kenaikan atau penurunan pangkat, atau panggilan semula selepas diberhentikan;
    • Jawatan yang dijangka akan diisi dalam tempoh lebih daripada 30 hari;
    • Jawatan yang telah diisi tetapi pekerja tersebut belum melapor diri; dan
    • Jawatan yang akan diisi oleh pekerja yang dibekalkan oleh agensi lain seperti subkontraktor dan perunding.

     

    Kekosongan adalah statistik stok pada sesuatu masa. Oleh itu, kekosongan pada suku keempat 2019 mewakili kekosongan pada tahun 2019.

    Pewujudan jawatan merujuk kepada jawatan yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi yang mana jawatan tersebut belum pernah tersedia sebelum ini termasuk skim perkhidmatan yang baru digubal, jawatan yang diwujudkan untuk kenaikan pangkat pekerja sedia ada dan pertambahan bilangan jawatan daripada struktur sedia ada.

    Pewujudan jawatan adalah statistik kumulatif. Pwujudan jawatan pada tahun 2019 adalah hasil tambah pewujudan jawatan suku tahun pertama sehingga suku keempat 2019.

    Reka bentuk pensampelan bagi SGT adalah di peringkat nasional. Oleh itu statistik di peringkat negeri tidak tersedia melalui survei tersebut.