Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

113) KG KEMENSAH LOKASI REKREASI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai sebarang perancangan untuk menjadikan Kg Kemensah, Hulu Kelang sebagai sebuah lokasi rekreasi Negeri Selangor atas sifatnya yang mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan rekreasi?

    Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap perkembangan Kg Kemensah sebagai sebuah lokasi rekreasi yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur. Pelbagai produk yang berpotensi seperti Air Terjun Kemensah, Kampung Orang Asli Kemensah, ATV Kemensah, dan termasuklah BBQ Lamb KL Kemensah yang tular di atas keunikan menikmati pengalaman makan di dalam sungai. Tidak terkecuali kemunculan resort-resort dan penawaran penginapan di sekitar Kemensah yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi-agensi seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Tourism Selangor perlu berhati-hati di dalam sebarang perancangan promosi dan pembangunan pelancongan yang akan dilaksanakan di Kg Kemensah memandangkan terdapat beberapa produk yang telah wujud dan dibangunkan oleh orang awam mempunyai beberapa isu keselamatan dan perundangan yang perlu ditangani segera seperti pelanggaran syarat tanah, tidak mempunyai Kebenaran Merancang PBT, tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan sebagainya.

    Justeru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk melaksanakan Program Pemurnian Pelancongan (P3S) bagi menyelesaikan isu-isu yang terdapat di Kg Kemensah secara berperingkat. Kerajaan Negeri, melalui program P3S yang dilaksanakan kelak dijangkakan akan memberi manfaat dan seterusnya menjadikan Kg Kemensah, Hulu Kelang sebagai sebuah lokasi rekreasi Negeri Selangor yang bukan sahaja popular bahkan selamat untuk dikunjungi.

Lampiran

Tiada Lampiran.