Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

58) KILANG HARAM

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kewujudan kilang haram dan perniagaan di tapak kediaman (tanah lot) yang sudah lama dibina, bagaimana mengatasinya

    PERTANYAAN MULUT DARIPADA Y.B. DATUK SULAIMAN BIN ABDUL RAZAK (N09 PERMATANG), Y.B. TUAN KHASIM BIN ABDUL AZIZ (N20 LEMBAH JAYA) DAN Y.B. TUAN DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM (N49 SERI ANDALAS) KEPADA DATO’ SERI MENTERI BESAR

    KILANG HARAM

    1. Nyatakan jumlah dan lokasi kilang haram yang masih beroperasi di Selangor?
    2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri kepada kilang haram tersebut?
    3. Nyatakan jumlah kerugian Kerajaan Negeri akibat kewujudan kilang haram tersebut?
    4. Kewujudan kilang haram dan perniagaan di tapak kediaman (tanah lot) yang sudah lama dibina, bagaimana mengatasinya?
    5. Pemberian kompaun tidak menyelesaikan masalah. Apakah perancangan jangka panjang yang dirancang bagi menyelesaikan masalah tersebut?
    6. Kewujudan berapakah jumlah kilang-kilang haram yang telah diputihkan di Daerah Klang sejak dari tahun 2010 sehingga sekarang?

    JAWAPAN BAGI PERTANYAAN MULUT DARIPADA Y.B. DATUK SULAIMAN BIN ABDUL RAZAK (N09 PERMATANG), Y.B. TUAN KHASIM BIN ABDUL AZIZ (N20 LEMBAH JAYA) DAN Y.B. TUAN DR. XAVIER JAYAKUMAR A/L ARULANANDAM (N49 SERI ANDALAS) KEPADA DATO’ SERI MENTERI BESAR

     Isu berkaitan kilang haram ini menjadi satu isu yang sering diperkatakan oleh wakil rakyat. Pada sidang dewan kali ini, saya akan menjawab pertanyaan mulut daripada Y.B. Datuk Sulaiman bin Abdul Razak (Permatang), Y.B. Tuan Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam (Seri Andalas) dan Y.B. Tuan Khasim bin Abdul Aziz (Lembah Jaya) secara bersekali.

     

    Pihak Berkuasa Negeri (PBN) telah menubuhkan Jawatankuasa Tetap Penyelesaian Kilang Haram Negeri Selangor (JTPKHNS) untuk memantau dan memberi nasihat berkaitan kilang-kilang haram. Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) di Negeri Selangor telah dilancarkan pada 31 Julai 2006. Berdasarkan bancian awal terdapat lebih kurang 3,165 buah kilang.

    Setelah semakan semula dibuat hanya  2,998 buah kilang telah dibina di atas 2,523 lot tanah pertanian. Sepanjang tempoh PPKTK hanya 1,346 lot telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah daripada pertanian kepada industri. Daripada jumlah permohonan tersebut sebanyak 1,223 telah diluluskan dan sebanyak 1,154 lot yang masih belum mengemukakan permohonan.

    Karajaan Negeri mengambil kira premium tambahan yang belum dilangsaikan sebagai satu bentuk kerugian dan setakat ini sebanyak RM65 juta (bayaran premium tambahan) dianggarkan telah tidak dapat dikutip. Statistik kilang tanpa kebenaran di Negeri Selangor seperti di Lampiran A setakat 31 Disember 2015 sahaja. Berdasarkan kepada Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 1 Tahun 2015, PPKTK di Negeri Selangor tamat pada 31 Disember 2015.

    Mesyuarat JTPKHNS yang diadakan pada 24 Januari 2017 telah bersetuju tindakan penguatkuasaan dilaksanakan melibatkan kilang-kilang di sepanjang sungai dan sekitarnya. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tertakluk kepada undangundang sedia ada antaranya di bawah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 dan Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 serta undang-undang di bawah Agensi Kerajaan yang berkaitan.

    Kilang-kilang dan perniagaan di atas tapak kediaman adalah melanggar syarat nyata tanah. Bagi mengatasi masalah tersebut, Pentadbir Tanah Daerah (PTD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.