Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

223) KILANG HARAM

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pencemaran air di Semenyih, adakah ia berpunca daripada kilang haram?

    a), b) dan c)

     

    Soalan Ini Dijawab Bersekali  dengan  Soalan  39,  Soalan  82,  Soalan  103, Soalan 211, Soalan 223 dan Soalan 291.

     

    Program Kilang Haram telah dilancarkan pada 31 Julai 2006. Berdasarkan kepada bancian yang telah dibuat oleh PTD dan PBT, jumlah lot yang terlibat dengan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) adalah sebanyak 2,978 lot. Sepanjang tempoh PPKTK sebanyak 1,333 lot telah mengemukakan permohonan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,087 telah diluluskan. Walau bagaimanapun hanya 800 lot kilang yang telah membayar premium tambahan.

     

    Sehingga 31 Disember 2015, daripada jumlah asal 2,978 lot kilang masih berbaki 2,178 lot kilang yang masih berstatus tanah pertanian. Senarai lengkap nama-nama kilang yang terlibat dalam program ini boleh didapati di PBT yang berkenaan.

     

    Statistik bagi program kilang haram adalah merangkumi jumlah keseluruhan kilang- kilang yang terdapat di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, statistik terperinci berkenaan jumlah kilang haram yang terletak di tepi tebing atau yang berhampiran sungai di Negeri Selangor seperti Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih atau sungai-sungai yang lain yang menjadi sumber air mentah di Negeri Selangor tidak dapat dikemukakan melalui statistik program kilang haram.

     

    Walau bagaimanapun, ekoran daripada isu pencemaran air Sungai Semenyih baru- baru ini, pihak MPKj telah membuat bancian berkenaan kilang-kilang yang terletak

     

    berhampiran Sungai Semenyih. Maklumat yang diperolehi daripada MPKj memaklumkan bahawa sejumlah 35 premis telah diperiksa di sekitar kawasan berhampiran Sungai Semenyih. Daripada jumlah tersebut sebanyak 14 buah premis mempunyai Kelulusan Perlesenan, 7 buah premis mempunyai Kelulusan Kebenaran Merancang dan 6 buah premis mempunyai Kelulusan Pelan Bangunan yang telah diluluskan oleh MPKJ manakala sebanyak 8 buah premis beroperasi tanpa kelulusan.

     

    Dimaklumkan juga bahawa terdapat tiga (3) kawasan perindustrian berhampiran lembangan Sungai Semenyih iaitu kawasan perindustrian Sungai Lalang, Vilaraya dan Seri Haneco. Maklumat lengkap berkenaan dengan jenis perusahaan yang dijalankan oleh kilang-kilang tersebut boleh didapati terus daripada pihak MPKj.

     

    Selepas berakhirnya PPKTK di Negeri Selangor pada 31 Disember 2015. PTD dan PBT tidak dibenarkan memperbaharui sebarang permohonan lesen perniagaan dan permit khas tanah kepada peserta PPKTK. Pemilik tanah dan pengusaha kilang yang tidak memohon atau tidak menyelesaikan keperluan kelulusan yang disyaratkan adalah tertakluk kepada tindakan-tindakan penguatkuasaan seperti mana yang digariskan dalam Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, dan Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.

     

    Dalam usaha kerajaan Negeri untuk memastikan kebersihan sungai-sungai bebas daripada pencemaran, satu jawatankuasa induk di peringkat Negeri iaitu Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor antara lain berfungsi untuk memantau kualiti air dan aktiviti-aktiviti di sepanjang sungai-sungai utama di negeri Selangor. Selain itu juga penguatkuasaan bersepadu oleh pelbagai agensi kerajaan Negeri seperti PTD, PBT, JAS, LKIM, LUAS dan lain-lain sering dijalankan bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menjaga kebersihan sungai dan pantai di negeri Selangor terjamin.

Lampiran

Tiada Lampiran.