Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

123) KILANG HARAM

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah seriusnya masalah kilang haram di negeri Selangor? Apakah masalah-masalah utama yang dikenal pasti telah ditimbulkan oleh kilang-kilang haram ini ?

    Pada tahun 2002, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan supaya satu Jawatankuasa Khas perlu diwujudkan dalam melaksanakan Program ‘Pemutihan’ Kilang-kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor. Jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran (JKKTK) Negeri Selangor ini bertanggungjawab di atas perkara-perkara
    berikut:-

    i) Mengenal pasti kilang-kilang tanpa kebenaran dan mengklasifikasikan mengikut kategori;

    ii) Menempatkan semula kilang-kilang tanpa kebenaran ke lokasi yang ditetapkan;

    iii) Mengezonkansemula kawasan industri terlibat bagi membolehkan kilang beroperasi secara sah; dan

    iv) Menggalakkan keadaan atau suasana kilang yang teratur, selamat dan tidak mencemar.

    Kilang yang beroperasi di tanah pertanian mesti mengubah syarat guna tanah kepada tanah industri bagi mengelakkan dilabel ‘kilang haram’ yang sering dikaitkan dengan kegiatan pencemaran alam sekitar. Langkah itu perlu kerana jika tidak, kewujudan kilang seperti itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri dalam jangka masa panjang. Pertambahan jumlah kilang-kilang tanpa kebenaran memberi kesan kerugian terhadap kutipan hasil cukai dan bukan cukai Kerajaan Negeri. Masalah-masalah utama yang ditimbulkan oleh kilang-kilang haram ini adalah seperti berikut:-

    i) Pemilik tanah yang mengalami masalah kewangan tidak mampu untuk  menjelaskan premium tambahan yang dikenakan apabila menukar syarat kegunaan tanah;

    ii) Pemilik tanah juga sukar mendapatkan pinjaman untuk menjelaskan premium tambahan yang dikenakan kerana pemilik tanah telah berusia dan tidak layak untuk membuat pinjaman;

    iii) Pemilik tanah telah menyewakan tanah tersebut kepada pengusaha kilang dalam tempoh jangka masa yang panjang dan terikat dengan perjanjian yang telah dibuat;

    iv) Pemilik tanah hanya menggunakan sebahagian daripada tanah bagi tujuan industri;

    v) Pemilik tanah kurang faham mengenai tukar syarat kegunaan tanah dan menyebabkan mereka tidak membuat permohonan;

    vi) Kadar premium yang dikenakan ke atas pemilik tanah mengikut Kaedah-Kaedah Tanah Selangor 2003 adalah tinggi dan menyulitkan mereka dalam menjelaskannya dalam tempoh yang ditetapkan;

    vii) Tempoh pajakan tanah yang hampir luput menyebabkan pemilik tanah enggan menukar syarat kegunaan tanah kerana premium tambahan bagi tempoh pajakan baru adalah tinggi.

    viii) Kilang-kilang yang didirikan berada di luar kawasan zon yang ditetapkan (zon perindustrian);

    ix) Kilang-kilang yang didirikan berdekatan di antara satu sama lain dan tidak memenuhi syarat pembangunan yang ditetapkan oleh PST; dan

    x) Kebanyakan kilang-kilang tidak mematuhi syarat-syarat atau kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh JPS, JKR dan JAS.

Lampiran

Tiada Lampiran.