Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

265) Kilang Haram

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah kilang haram terkini yang telah dikesan mengikut PBT?

    Saya memohon keizinan untuk menjawab soalan ke 27 oleh YB Dengkil bersekali dengan 9 soalan mulut Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain berkenaan aktiviti Kilang Haram seperti senarai berikut:

    YB Tuan Speaker,

    Kerajaan Negeri Selangor amat memandang serius isu kilang-kilang tanpa kebenaran. Walau bagaimanapun, sering kali terdapat kekeliruan berkenaan status kilang-kilang ini yang lebih dikenali sebagai kilang haram.

    Di sini saya ingin jelaskan bahawa kilang tanpa kebenaran bukanlah kilang yang menjalankan aktiviti haram. Kilang tanpa kebenaran merupakan kilang yang mempunyai lesen perniagaan sementara namun belum memenuhi syarat-syarat teknikal lain seperti status syarat tanah, zoning atau kebenaran merancang.

    Berbeza dengan kilang haram iaitu kilang yang tidak mempunyai lesen perniagaan sementara serta menjalankan perusahaan yang boleh menimbulkan kacau ganggu, pencemaran dan kemudaratan kepada manusia dan alam sekitar.

    Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kilang tanpa kebenaran ini wajar diberi peluang. Oleh yang demikian, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor telah dimulakan pada tahun 2006 (tamat pada 31 Disember 2015).

    Atas keperluan semasa dan mengambil kira pelbagai faktor, Kerajaan Negeri melalui MMKN ke 25/2019 pada 28 Ogos 2019 telah memutuskan untuk memberi peluang terakhir kepada pengusaha kilang untuk menyertai program pemutihan yang telah ditukar nama kepada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober 2019 sehingga 30 September 2020.

    Namun, berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik wabak Covid-19, program ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Program pemutihan ini adalah yang terakhir dan selepas tamat tempoh, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara bersepadu mengikut peruntukan perundangan yang berkuatkuasa

     

    MAKLUMAT KILANG TANPA KEBENARAN

    YB Tuan Speaker

    Jumlah terkini keseluruhan data kilang tanpa kebenaran yang beroperasi di Negeri Selangor adalah sebanyak 5,589 kilang seperti pecahan berikut:

    Daripada tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 1482 (1,346: 2006 – 2015 + 136: 2019 – Sep 2020) permohonan mengubah kategori dan meminda syarat nyata tanah telah dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah. Daripada jumlah ini, sebanyak 630 kilang yang telah diputihkan (630: 2006 – 2015). Diputihkan ini bermaksud kilang yang telah mempunyai kelulusan tukar syarat tanah, pelan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan. Jumlah kilang tanpa kebenaran yang tidak mungkin diluluskan akan diketahui selepas program pemutihan ini tamat.

     

    MAKLUMAT KILANG DI SEKITAR SUNGAI

    YB Tuan Speaker,

    Saya ingin menyentuh berkenaan status kilang tanpa kebenaran yang berada di sekitar sungai. Berdasarkan semakan, sebanyak 869 kilang berada di lokasi sumber sungai-sungai utama. Pecahan jumlah kilang ini mengikut PBT adalah seperti berikut:-

    Pada 30 Oktober 2020 lalu, YAB Dato Menteri Besar Selangor telah membentangkan perancangan komprehensif dalam menangani isu pencemaran sungai. Diantara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah pemantauan oleh Skuad Pantas LUAS, penggunaan dron, pengurusan data dan analisis kecerdasan buatan.

    Dalam hal ini, PBT Negeri Selangor akan bersama-sama membantu agensi teknikal lain bagi memastikan pengilang mengendalikan bahan buangan dengan betul. Antara kaedah kawalan yang dilaksanakan oleh PBT adalah mengenakan syarat pengeluaran lesen seperti berikut:

    • syarikat hendaklah melantik panel kontraktor sisa industri PBT bagi menguruskan sisa industri dan melupuskan sisa tersebut di tapak pelupusan sampah yang dibenarkan oleh PBT; dan
    • syarikat hendaklah memasang perangkap minyak (grease trap) atau kolam rawatan air bagi memastikan premis-premis tersebut tidak mengalirkan sisa-sisa minyak atau bendasing ke dalam sungai.

Lampiran

Tiada Lampiran.