Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

140) KISS DAN PEDULI SIHAT SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk meringankan beban golongan B40 yang layak tersenarai di dalam e-Kasih dan BSH tetapi tidak tersenarai sebagai penerima bantuan KISS dan Peduli Sihat seperti sebelumnya?

    SEKSYEN BERKUASA PIHAK TEMPATAN (UPEN)

    a) Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, selepas proses pengemaskinian dilakukan, terdapat seramai 30,727 orang penerima Peduli Sihat dan 1,312 orang penerima KISS yang layak tersenarai di dalam e-Kasih dan BSH tetapi tidak tersenarai sebagai penerima bantuan KISS dan Peduli Sihat yang terkini kerana telah melebihi kuota.

     

    Kerajaan Negeri sedang dalam proses perbincangan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada penerima sedia ada yang layak tetapi terkeluar kerana telah melebihi kuota. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri.

     

    SEKSYEN SEKTORAL (UPEN)

    1. Dalam memastikan rakyat dari golongan B40 di Selangor dapat meneruskan kelangsungan hidup, terdapat pelbagai program yang boleh dinikmati oleh golongan ini melalui Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) selain Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat.

     

    Antaranya adalah seperti Program Bantuan Am yang dilaksanakan dibawah operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) yang mensasarkan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna di dalam komuniti. Kadar minimum bagi Bantuan Am ini adalah sebanyak RM100.00 sebulan seorang dan maksimum sebanyak RM350.00 sekeluarga. Bantuan Am ini merupakan bantuan sementara untuk memenuhi keperluan asas kehidupan bagi meringankan beban atau permasalahan yang dihadapi. Proses pemberian bantuan kebajikan juga mengambil kira potensi yang ada pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

     

    Selain itu, Program Skim Bantuan Tadika (TUNAS) juga dapat dinikmati oleh golongan B40 yang menghantar anak mereka ke tadika dengan menerima bantuan subsidi sebanyak RM50.00 seorang. Begitu juga dengan Program Bantuan Asuh Pintar yang dahulunya dikenali sebagai Program SiKEMBAR turut boleh dinikmati golongan B40 dengan bantuan subsidi sebanyak RM100.00 seorang sekiranya mereka menghantar anak-anak ke taska yang berdaftar.

     

    Sebagai makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pemilihan penerima bantuan selepas penjajaran ini dilakukan dengan menggunakan data dari Sistem e-Kasih dan Bantuan Sara Hidup (BHS) adalah bertujuan untuk menyaring nama penerima manfaat program IPR agar penerimaan bantuan program ini lebih adil dan saksama serta mengelakkan pertindihan penerima. Secara tidak langsung ia juga dapat membantu melatih rakyat yang bukan dari kalangan tidak berkemampuan untuk mengurangkan sikap kebergantungan terhadap bantuan dari Kerajaan Negeri semata-mata.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.