Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

229) KITAR SEMULA SISA MINYAK MASAK

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar kerajaan dalam merakyatkan program kitar semula sisa minyak masak?

    Kerajaan Negeri masih belum mempunyai dasar dalam merakyatkan program kitar semula sisa minyak masak. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa mendokong program kitar semula sisa minyak masak melalui Program Kerjasama Pintar. Program Kerjasama Pintar ini merupakan program berterusan sepanjang tahun yang dilaksanakan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (Local Agenda 21), pihak komuniti (NGOs) dengan sokongan pemimpin tempatan bagi membantu LUAS dalam memulihara sumber air, lembangan sungai dan perairan pantai khusus daripada pencemaran yang berpunca daripada sisa minyak masak dari kawasan perumahan, restoran, gerai-gerai makan dan pasar malam. Objektif program adalah dengan mempergiatkan Kempen Kitar Semula Sisa Minyak Masak melalui inisiatif Kerjasama Pintar antara LUAS, komuniti dan

    Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengawal punca pencemaran bersebaran (Non Point Sources) daripada sumber asalnya iaitu kawasan perumahan, restoran, gerai dan pasar malam. Ini dapat mewujudkan kesedaran dan penyertaan komuniti tentang pentingnya memulihara sumber air serta bersama-sama menjaga dan meningkatkan kualitinya. Khusus kepada komuniti yang berada di Lembah Klang, kempen ini membantu usaha Kerajaan Negeri dalam Program Pembersihan dan Pengindahan Sungai Klang yang sedang dilaksanakan.

    Selain itu, melalui program ini dapat menyebarluaskan pengetahuan kepada masyarakat bahawa sisa minyak masak boleh di kitar semula untuk dijadikan bahan berguna seperti minyak bio-diesel yang lebih mesra alam dan menjadi sumber tenaga alternatif pada masa akan datang. Konsep “Waste to Wealth” turut dapat dipromosikan di mana komuniti akan dapat menjana pendapatan dari program kitar semula ini dan dimanfaatkan untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.