Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

107) KLORR DAN HAK KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah projek ini akan dimulakan?

    Kerajaan Negeri pada dasarnya bersetuju dan menyokong cadangan Pembinaan Lebuh
    Raya Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) memandangkan ia adalah projek
    infrastruktur yang akan memberi kemudahan kepada rakyat. Namun demikian, kajian
    semula perlu dilakukan oleh pihak syarikat konsesi yang dilantik berhubung jajaran
    lebuh raya tersebut. Ini adalah kerana jajaran yang dikemukakan kepada Kerajaan
    Negeri melibatkan kawasan tadahan air Ampang yang dianggap kawasan sensitif alam
    sekitar, kawasan empangan Klang Gate serta kawasan hutan simpan Hulu Langat dan
    Ampang yang diwartakan sebagai Taman Warisan Negeri.
    Dalam hal ini, pihak syarikat memerlukan sedikit masa untuk mengkaji kesesuaian
    jajaran serta menyiapkan Detail Environment Impact Analysis (DEIA) khususnya bagi
    kawasan yang melibatkan kawasan tadahan air, Taman Warisan Negeri, empangan
    Klang Gate dan lain-lain.. Kesesuaian jajaran ini boleh memberi impak positif dari segi
    sosio ekonomi, sosio politik serta kesan terhadap alam sekitar. Oleh yang demikian,
    projek ini akan dimulakan sejurus selepas Kerajaan Negeri bersetuju dengan jajaran
    baru yang akan dikemukakan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan
    syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.