Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

93) KLUSTERASI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci gugusan ekonomi Selangor berkaitan ekonomi , sosial dan alam sekitar bagi tahun 2020?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengumpul data di peringkat negeri, nasional dan dunia bagi meneliti kekuatan sedia ada serta sasaran (forecast) kluster-kluster yang terlibat untuk membolehkan satu mekanisme ukuran atau objektif setting ditetapkan terhadap pencapaian kluster. Penerbitan dan pengagihan Booklet Klusterisasi Negeri Selangor Vol.1 yang memaparkan maklumat asas mengenai kluster-kluster Negeri Selangor juga telah dibuat semasa sidang dewan yang lalu. Seterusnya perancangan tahun 2020, satu pelan tindakan bagi tempoh jangka pendek (2019-2021 – 3 tahun) dan jangka panjang (2022-2025 – 4 tahun) akan didokumenkan bagi mengenalpasti program/projek yang berupaya untuk memberi impak kepada ekonomi Selangor serta memudahkan proses pemantauan. Fokus tahun ini akan diberikan kepada Kluster Pertanian, Kluster Industri Aeropolis dan Aeroangkasa dan Kluster Pendidikan.

    Untuk makluman semua, bermula dari tahun lepas Kerajaan Negeri memberikan tumpuan yang lebih kepada Kluster Pertanian memandangkan pertanian dan perikanan merupakan sektor yang penting dalam menjamin bekalan makanan atau food security rakyat Negeri Selangor. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian tahun 2018 adalah sebanyak 1.4% dengan nilai sebanyak RM4.6 bilion. Dijangkakan pada tahun 2026, KDNK sektor pertanian Selangor dari segi nilai akan meningkat kepada RM6 bilion. Peningkatan ini akan disokong oleh pengeluaran hasil produk-produk pertanian yang berteraskan penggunaan teknologi-teknologi moden. Selain itu, penekanan terhadap prinsip Precision Agriculture termasuk Good Agriculture Practices (GAP) serta pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu dengan penanaman produk pertanian bernilai tinggi (High Value Products) akan turut diberikan.

    Sebagai contoh projek penanaman Golden Melon di Selangor Fruit Valley seluas 3 ekar. Penyediaan tapak telah siap sepenuhnya dan proses pelaksanaan telah bermula pada akhir bulan Jun 2020 di mana tempoh pengeluaran hasil akan mula diperolehi dalam tempoh 3 bulan dengan jumlah pengeluaran sebanyak 12,000 biji untuk satu musim atau 48,000 biji setahun. Pengeluaran hasil dijangka bernilai RM150,000 atau (harga ladang) untuk sekali tuaian semusim manakala harga jualan di pasaran boleh mencecah RM10 setiap kilogram. Dengan tempoh yang singkat, dengan keluasan yang minima, namun hasil yang bakal diperolehi oleh pengusaha boleh mencecah sehingga RM600,000.00 setahun nilai jualan. Oleh yang demikian, saya percaya sektor pertanian selepas ini bukan sekadar meraih pendapatan sampingan malah ianya boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama dan mengurangkan kebergantungan kepada bidang pekerjaan yang semakin mengecil khusus kepada generasi muda. Begitu juga dengan klusterisasi yang lain, tumpuan akan diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kluster-kluster tersebut berkembang dan menjana ekonomi setempat.

    Industri aeroangkasa terus menjadi agenda utama Kerajaan Pusat dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai penggiat utama industri ini di rantau Asia Tenggara. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis industri aeroangkasa Malaysia akan berkembang antara 10 hingga 15 peratus tahun ke tahun didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pembuatan, terutama dalam komponen aerostruktur dan enjin serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) termasuk enjin dan komponen aero. Peranan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa global telah menjadi lebih matang dan kukuh yang meliputi pemain industri global dan tempatan serta syarikat seperti Airbus, Boeing dan Rolls Royce yang kebanyakannya bertapak di Selangor.

    Bertitik tolak daripada ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor di bawah Kluster Industri Aeropolis dan Aeroangkasa komited untuk menjadi antara hab aeroangkasa global dan mengekalkan kedudukannya sebagai peserta utama dalam industri berkenaan di Malaysia. Perjalanan udara global yang semakin meningkat akan memberi impak terhadap sektor aeroangkasa kerana kira-kira 80 peratus penduduk dunia masih belum menggunakan perkhidmatan penerbangan. Sehubungan dengan itu, penting bagi Negeri Selangor untuk mengambil peluang yang ada menerusi pengukuhan koordinasi di antara agensi berkaitan untuk mempromosikan ekosistem aeroangkasa negeri kepada pelabur.

    Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu unit khas di bawah Invest Selangor Berhad (ISB) yang dikenali sebagai Aerospace Industry Coordination Office (S-DAICO). Penubuhan unit ini bertujuan untuk melaksana dan menyelaras cadangan projek-projek pembangunan aeroangkasa di bawah perancangan Pelan Tindakan Hala Tuju Khusus Aeroangkasa 2020-2030 menerusi 30 pelan tindakan yang meliputi 7 inisiatif utama. Unit ini akan turut berperanan sebagai ‘front liner’ bagi membantu pemain-pemain industri aeroangkasa dalam penyaluran maklumat, khidmat nasihat serta peluang pelaburan yang boleh diterokai.

    Pembangunan berterusan dalam industri ini akan membolehkan Selangor menjadi salah satu hab aeroangkasa global dan kekal sebagai peserta utama dalam industri ini. Sehingga kini, Selangor adalah hab bagi industri aeroangkasa dan penerbangan di Malaysia dengan lebih 70 peratus peserta aeroangkasa beroperasi di Selangor, namun Kerajaan Negeri komited untuk menarik lebih banyak syarikat MRO beroperasi di Selangor dan memperbanyakkan kawasan perkilangan pesawat melalui perundingan dengan syarikat antarabangsa untuk menempatkan operasi mereka di Selangor.

    Ke arah menggiat peranan ahli akademik dalam memperkemas agenda Selangor selaku hab pendidikan unggul Malaysia, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menubuhkan Majlis Konsultansi Akademia-Industri Selangor (MKAIS) yang melibatkan Naib-naib Canselor/Presiden Universiti Seluruh Selangor pada tahun 2020. Majlis ini kelak akan berperanan untuk merentas kesalinghubungan ahli-ahli akademik dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam aspek penyelidikan, pembangunan sosio-ekonomi serta pembangunan sosiobudaya khususnya dalam merealisasikan agenda Klusterisasi Negeri Selangor melalui segmen kepakaran yang tersedia di setiap Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) ternama di Negeri Selangor. Sejumlah RM 1 juta diperuntukkan dalam bentuk geran penyelidikan yang boleh dimanfaatkan secara dua hala demi menjamin keberkesanan akademia-industri Negeri Selangor.

    Selain dari tiga (3) kluster yang difokuskan, kluster-kluster lain juga akan terus dipantau pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor ini secara relatifnya dapat memberi impak yang lebih besar dan cepat serta lebih terancang bagi menjana ekonomi yang mampan, dinamik dan inovatif yang seterusnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.