Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

24) KLUSTERISASI GUGUSAN-GUGUSAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini program klusterisasi seperti yang telah diumumkan di dalam pembentangan bajet yang lalu?

    Setelah pengumuman mengenai Inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor dibuat pada pembentangan bajet yang lalu, terdapat beberapa siri mesyuarat, perbincangan dan persidangan yang telah diadakan bagi memastikan semua agensi terlibat memahami dan bersedia dalam merealisasikan perancangan di bawah inisiatif ini. Kerajaan Negeri melalui UPEN telah mengadakan Bengkel Klusterisasi Negeri Selangor pada 28 hingga 29 Mac dan hasil bengkel telah dibentangkan di Retreat EXCO Kerajaan Negeri Selangor pada 1-2 April 2019. Seterusnya, UPEN juga telah membentangkan Kertas Makluman mengenai Status Kemajuan Klusterisasi Negeri Selangor pada bulan Julai dan mencadangkan beberapa perubahan berdasarkan kepada keperluan dan kesesuaian semasa. Perubahan tersebut adalah:

    1. pemurnian ke atas kluster asal:
      • Kluster Industri Teknologi Tinggi dan Science Park ditukar kepada Kluster Sains dan Teknologi Tinggi;
      • Kluster Pertanian & Industri Asas Tani dan Kluster Perikanan & Akuakultur digabungkan bersama dan ditukar kepada Kluster Pertanian; dan
      • Kluster Ekonomi Bandar ditukar kepada Kluster Ekonomi Digital

     

    1. Kluster Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan memfokuskan kepada tiga (3) sektor utama iaitu:
      • Halal;
      • Bioteknologi; dan
      • Pelancongan Kesihatan (medical-tourism)

     

    • Empat (4) kluster yang diketuai oleh Invest Selangor Berhad (ISB) disuaipadankan semula dengan Pelan Induk Perindustrian Selangor (Selangor Industrial Master Plan Study)

    Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dan proses pemantauan setiap pelan tindakan yang dirancang bagi setiap kluster, Jawatankuasa Pemandu Klusterisasi Negeri Selangor telah ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri Selangor dan pertama kali bersidang pada 15 Mei 2019 yang lalu, manakala Jawatankuasa Teknikal Klusterisasi Negeri Selangor telah ditubuhkan di peringkat sektoral.

    Kerajaan Negeri melalui UPEN telah mengumpul data di peringkat negeri, nasional dan dunia bagi meneliti kekuatan sedia ada serta sasaran (forecast) kluster-kluster yang terlibat untuk membolehkan satu mekanisme ukuran atau objective setting terhadap pencapaian kluster. Seterusnya, pelan tindakan turut dirangka bagi tempoh jangka pendek (2019-2020 – 2 tahun) dan jangka panjang (2021 -2025 – 5 tahun) dan pemantauan kepada pelan tindakan (action plan) dan aktiviti akan dibuat oleh Kerajaan Negeri 4 bulan sekali melalui pembentangan di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor.

    Bagi Kluster Industri Aeropolis dan Aeroangkasa, sebanyak 62% industri berasaskan aeroangkasa berada di Selangor dan Subang merupakan pemain utama yang telah menyumbangkan 34% dengan jumlah syarikat sebanyak 70 berbanding 200 syarikat di Malaysia. Sebanyak RM 1.7 bilion pendapatan dan 55,000 pekerjaan dijana setiap tahun dan Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak RM 2 bilion pendapatan serta 75,000 perkerjaan setahun dijana menjelang tahun 2025.  Buat masa ini, jumlah pengendalian penumpang adalah sebanyak 3 juta setahun. Dijangka sebanyak lebih 5 juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Kompleks A di Subang juga merupakan Hab MRO pertama di Malaysia yang satu-satunya dilengkapi kemudahan Aerodrome di rantau Asia. Dengan proses rejuvenasi di dalam kluster ini, maka kemudahan dan perkhidmatan akan dapat ditambah baik dan Subang bakal menjadi hab serantau bagi “Business Aviation” dan hab MRO di Asia Tenggara bertaraf dunia.

    Selain itu, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada Kluster Pertanian memandangkan pertanian dan perikanan merupakan sektor yang penting dalam menjamin bekalan makanan atau food security rakyat Negeri Selangor. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian tahun 2018 adalah sebanyak 1.4% dengan nilai sebanyak RM 4.6 bilion. Dijangkakan pada tahun 2026, KDNK sektor pertanian Selangor dari segi nilai akan meningkat kepada RM 6 bilion. Peningkatan ini akan disokong oleh pengeluaran hasil produk-produk pertanian yang berteraskan pengunaan teknologi-teknologi moden. Selain itu, penekanan terhadap prinsip Precision Agriculture termasuk Good Agriculture Practices (GAP) serta pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu dengan penanaman produk pertanian bernilai tinggi (High Value Agriculture Products) akan turut diberikan.

    Sebagai contoh projek penanaman Golden Melon di Selangor Fruit Valley seluas 3 ekar yang sedang dalam penyediaan tapak dan akan bermula tahun ini di mana tempoh pengeluaran hasil akan mula diperolehi dalam tempoh 3 bulan. Pengeluaran hasil dijangka bernilai RM150,000 sekali tuaian dengan harga jualan di pasaran sebanyak RM10-12 setiap kilogram. Dengan tempoh yang singkat, dengan keluasan yang minima, namun hasil yang bakal diperolehi oleh pengusaha boleh mencecah sehingga RM600,000.00 setahun nilai jualan. Oleh yang demikian, saya percaya sektor pertanian selepas ini bukan sekadar meraih pendapatan sampingan malah ianya boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama dan mengurangkan kebergantungan kepada bidang pekerjaan yang semakin mengecil khusus kepada generasi muda. Begitu juga dengan klusterisasi yang lain, tumpuan akan diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kluster-kluster tersebut berkembang dan menjana ekonomi setempat.

    Ingin saya jelaskan bahawa semua projek-projek dan program-program pembangunan serta industri ini telah pun berjalan, namun begitu, dengan adanya klusterasi, ianya akan memberi impak yang lebih besar dan cepat serta lebih terancang bagi menjana ekonomi yang mampan,dinamik dan inovatif. Akhirnya kesan ini akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.