Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

56) KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kedudukan KUIS berbanding kolej universiti milik kerajaan atau swasta lain di peringkat Malaysia?

    1. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) beroperasi sebagai sebuah kolej universiti swasta telah ditubuhkan sejak tahun 1995. Reputasi dan kedudukan KUIS terus meningkat  setiap tahun, termasuk dari segi jumlah pengambilan pelajar, kakitangan akademik, kemudahan prasarana dan pengiktirafan dari dalam dan juga luar

     

    KUIS telah menjalani proses audit oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), iaitu Code of Practice for Institutional Audit (COPIA) pada 22 hingga 24 Februari 2010, Hasil dan rumusan laporan audit tersebut mendapati KUIS dikategorikan dalam kelompok IPTS yang SIHAT. Ini meliputi aspek governans, pengajaran dan pembelajaran (P&P), pengurusan akademik dan hal- ehwal pelajar, kemudahan prasarana dan logistik serta kemampuan untuk berdaya saing nasional dan antarabangsa.

     

    Bagi menjamin integriti dan reputasi KUIS sebagai IPTS Islam  yang  berdaya  saing, pihak pengurusan, fakulti dan jabatan di KUIS hanya  memastikan  program-program  yang ditawarkan mendapat perakuan akreditasi daripada MQA. Sehingga  kini  KUIS  telah menawarkan lima (5) program Asasi (Foundation Studies); 23 program akademik    di peringkat diploma; 15 di peringkat ijazah sarjana muda manakala 2 program Sarjana

    – keseluruhannya berjumlah 45 program akademik.

     

    Bagi menjamin kewibawaan penawaran program-program akademik, kakitangan akademik dipastikan memiliki ijazah sarjana MA dan PhD. Lebih 70% kakitangan akademik kini telah memiliki ijazah MA dan usaha-usaha juga giat dijalankan bagi menambah bilangan pensyarah berkelayakan PhD melalui Skim Latihan Akademik Kakitangan (SLAK). Seramai 30 kakitangan akademik KUIS telah dipilih mengikuti program di peringkat PhD di universiti dalam negara.

     

    Di kalangan IPTS Islam, KUIS juga telah diberikan peranan penting sebagai Sekretariat dan Pengerusi Ikatan Kolej-Kolej Islam Berkembar Antarabangsa (IKBA)  yang  ditubuhkan pada tahun 2003 dalam usaha meningkatkan jaringan  akademik,  peningkatan kualiti akademik dan pelajar.

     

     

     

    Berdasarkan kekuatan dalaman yang ada, pihak pengurusan KUIS telah  membentangkan dokumen naik taraf kepada Universiti Penuh pada 19 November 2009 dan sedang melakukan usaha-usaha penambahbaikan untuk mencapai  matlamat menjadi sebuah universiti penuh.

     

    Di bawah kepimpinan Rektor KUIS yang dilantik pada 1 April 2010, KUIS akan berusaha merealisasikan kedudukannya sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu secara bersepadu dengan menjadikan Cordoba dan Andalusia di Sepanyol sebagai inspirasi untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan tamadun ilmu abad ke-21 atau dengan izin “to bring back the past glory of Islamic civilization of Cordoba and Andalusia into the present context.”

Lampiran

Tiada Lampiran.