Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

3) KOMUNITI BERPAGAR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah komuniti berpagar di Selangor?

    Skim pembangunan perumahan berkonsepkan komuniti berpagar (‘Gated Community’) merupakan satu konsep pembangunan perumahan yang popular pada masa kini. Jenis pembangunan ini digemari kerana ia menawarkan persekitaran perumahan yang selamat untuk diduduki selain daripada persekitaran yang bersifat eksklusif serta selesa.

    Untuk itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor selepas pindaan Akta Hak milik Strata 1985 (Akta 318) dikuatkuasakan pada 12 April 2007 telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan satu garis panduan untuk permohonan pembangunan berkonsepkan ‘Gated Community’ yang komprehensif untuk diguna pakai secara seragam oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor. Garis panduan yang disediakan ini mengambil kira dari semua aspek dan keperluan khususnya yang melibatkan perundangan dan teknikal.

    Dari aspek perundangan, akta-akta seperti Akta Hak milik Strata, 1985 (Akta 318), Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Kerajaan Tempatan 1974 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 telah dirujuk bagi memastikan garis panduan yang disediakan ini tidak bertentangan dengan peruntukan perundangan. Manakala dari segi aspek teknikal, beberapa siri perbincangan dengan jabatan-jabatan teknikal meliputi Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), semua PBT, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain jabatan telah dibuat bagi mengambil kira pandangan dan keperluan setiap jabatan semasa penyediaan garis panduan ini. Kesemua aspek dan maklum balas ini diambil kira bagi memastikan garis panduan pembangunan berkonsepkan skim ‘gated community’ dapat memelihara kepentingan dan keselamatan sama ada pembeli dan PBT apabila skim tersebut diserahkan kepada pembeli untuk diambil alih pengurusan dan penyelenggaraan skim tersebut. Dalam masa yang sama pandangan daripada pemaju-pemaju perumahan melalui Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) juga diambil kira.

    Untuk makluman juga, tidak semua permohonan berkonsepkan ‘gated community’ akan diluluskan. Ini kerana sebelum sesuatu permohonan diluluskan banyak faktor akan diambil kira seperti pembangunan di kawasan bersebelahan, aksesibiliti, keluasan pembangunan dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk memastikan tiada pihak yang akan membantah projek yang akan dilaksanakan. Keperluan penyediaan kemudahan ‘comman facilities’ dan ‘comman properties’ sama ada di dalam sesuatu skim komuniti atau di luar komuniti perlu ditetapkan oleh PBT bagi memastikan tiada pihak khususnya masyarakat di kawasan sekeliling merasa terasing dengan kewujudan skim komuniti berpagar di samping dapat mencapai objektif pergaulan mesra antara masyarakat pelbagai kaum selaras dengan matlamat integrasi nasional yang digariskan. Bagi memastikan aspek keselamatan terjaga, anjakan bangunan (set back) dan jalan dalam komuniti tersebut masih dikekalkan seperti mana pembangunan biasa yang lain.

    Bagi skim perumahan sedia ada (diluluskan sebelum Pindaan 2007 Akta Hak milik Strata), Garis Panduan ‘Guarded’ (Kawalan) turut telah disediakan. Garis Panduan ini menetapkan tentang bagaimana sesuatu skim perumahan sedia ada boleh dipertimbangkan untuk melaksanakan konsep tersebut dan komponen-komponen yang dibenarkan yang tidak bertentangan dengan peruntukan perundangan sedia ada. Contohnya dengan pendirian pondok pengawal yang diletakkan di tepi jalan yang tidak menghalang lalu lintas dan pendirian pondok pengawal perlu mendapatkan kelulusan dari Pejabat Tanah Daerah dari segi penggunaan rezab tanah dan kelulusan peletakan serta reka bentuk pondok pengawal oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Walau apa pun peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) hendaklah dipatuhi supaya tidak melanggar mana-mana peruntukan walaupun tujuan utama garis panduan ini adalah untuk membanteras jenayah.

Lampiran

Tiada Lampiran.