Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

75) KOMUNITI BERPAGAR

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membuat dasar yang lebih mantap mengenai komuniti berpagar?

    Skim pembangunan perumahan berkonsepkan komuniti berpagar (‘Gated Community’)
    merupakan satu konsep pembangunan perumahan yang popular pada masa kini. Jenis
    pembangunan ini digemari kerana ia menawarkan persekitaran perumahan yang
    selamat untuk diduduki selain daripada persekitaran yang bersifat eksklusif serta selesa.
    Untuk itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor selepas pindaan Akta Hak milik
    Strata 1985 (Akta 318) dikuatkuasakan pada 12 April 2007 telah mengambil langkah
    proaktif untuk menyediakan satu garis panduan untuk permohonan pembangunan
    berkonsepkan ‘Gated Community’ yang komprehensif untuk diguna pakai secara
    seragam oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor. Garis panduan
    yang disediakan ini telah mengambil kira dari segi semua aspek dan keperluan
    khususnya yang melibatkan perundangan dan teknikal. Dari aspek perundangan, aktaakta seperti Akta Hak milik Strata, 1985 (Akta 318), Kanun Tanah Negara 1965, Akta
    Pengangkutan Jalan 1987, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta
    Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Kerajaan Tempatan 1974 (Akta
    171) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 telah dirujuk bagi memastikan
    garis panduan yang disediakan ini tidak bertentangan dengan peruntukan perundangan.
    Manakala dari segi aspek teknikal, beberapa siri perbincangan dengan jabatan-jabatan
    teknikal meliputi Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), semua PBT, Tenaga
    Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Jabatan Bomba dan
    Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain
    jabatan telah dibuat bagi mengambil kira pandangan dan keperluan setiap jabatan
    semasa penyediaan garis panduan in. Kesemua aspek dan maklum balas ini diambil
    kira bagi memastikan garis panduan pembangunan berkonsepkan skim ‘gated
    community’ akan dapat memelihara kepentingan dan keselamatan sama ada pembeli
    dan PBT apabila skim tersebut diserahkan kepada pembeli untuk diambil alih
    pengurusan dan penyelenggaraan skim tersebut. Dalam masa yang sama pandangan
    daripada pemaju-pemaju perumahan melalui Persatuan Pemaju Perumahan dan
    Hartanah (REHDA) juga diambil kira.
    Untuk makluman juga, tidak semua permohonan berkonsepkan ‘gated community’ akan
    diluluskan. Ini kerana sebelum sesuatu permohonan diluluskan banyak faktor akan
    diambil kira seperti pembangunan di kawasan bersebelahan, aksesibiliti, keluasan
    pembangunan dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk memastikan tiada pihak
    yang akan membantah projek yang akan dilaksanakan. Keperluan penyediaan
    kemudahan ‘comman facilities’ dan ‘comman properties’ sama ada di dalam sesuatu
    skim komuniti atau di luar komuniti perlu ditetapkan oleh PBT bagi memastikan tiada
    pihak khususnya masyarakat di kawasan sekeliling merasa terasing dengan kewujudan
    skim komuniti berpagar di samping dapat mencapai objektif pergaulan mesra antara
    masyarakat kaum dan diwujudkan selaras dengan matlamat integrasi nasional yang
    digariskan. Bagi memastikan aspek keselamatan terjaga, anjakan bangunan (set back)
    dan jalan dalam komuniti tersebut masih dikekalkan seperti mana pembangunan biasa
    yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.