Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

211) KOMUNITI BERPAGAR DAN BERPENGAWAL

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian kerajaan berkenaan dengan percanggahan dua garis panduan yang berlainan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan bagaimana ianya boleh disatukan sebagai satu garis panduan yang boleh diikuti oleh semua?

    Konsep skim perumahan komuniti berpagar  (gated  community)  pada  awalnya  terhad kepada pembangunan kediaman berstrata (berbilang tingkat) seperti kondominium dan apartmen mewah dengan menawarkan kemudahan harta bersama (common property) seperti kolam renang, rumah kelab, perkhidmatan keselamatan, kemudahan sukan dan rekreasi. namun, disebabkan proses perbandaran telah berkembang dengan pesat, konsep ini telah diambil dan dengan pakai oleh pemaju perumahan bagi  projek  pemajuan perumahan jenis bertanah (landed development housing projects) yang mengandungi rumah teres, rumah teres berkembar, banglo dan lain-lain. oleh  itu,  pindaan terhadap Akta Hak milik Strata 1985 (Akta 318) pada 12 April 2007 telah dibuat untuk membenarkan pembangunan ‘gated community’  bagi  projek  pemajuan perumahan jenis bertanah (landed development).

     

    Secara dasarnya Kerajaan Negeri meneima baik Garis panduan dan Perancangan  ‘Gated Community and Guarded Neighbourhoood’ yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mana sebahagian besarnya merupakan cadangan garis panduan asal yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. namun yang demikian terdapat beberapa perbezaan yang ketara khususnya yang melibatkan konsep ‘guarded neighbourhood’ yang mana kerajaan Negeri menetapkan persetujuan 85% daripada pemilik (termasuk penyewa) sedangkan KPKT hanya meletakkan persetujuan majoriti iaitu 51% sahaja. walaupun kedua-duanya telah menetapkan bilangan peratusan yang berbeza, namun ia masih lagi bertentangan dari aspek perundangan seperti Seksyen 136(2) dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Seksyen 80,  Akta Pengangkutan  Jlan 1987 serta Seksyen 26 Jadual G, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 berkenaan dengan larangan terhadap sebarang halangan pada jalan- jalan awam. oleh yang demikian, garis panduan yang disediakan ini adalah setelah mengambil kira pelanggaran perundangan yang minimum.

     

    Untuk itu, bagi tujuan penyelarasan rundingan lanjut dengan pihak KPKT akan dibuat untuk menyelaraskan perkara ini dan sementara waktu Garis Panduan Pembangunan ‘Gated and Guarded Community’ Negeri Selangor yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Jun 2010 akan terus diguna pakai sebelum penyeragaman dibuat dengan KPKT.

     

     

     

    Bagi permohonan baru yang berkonsepkan ‘gated community’ pula, Kerajaan  Negeri telah menetapkan ia wajib mematuhi peruntukan Akta Hak Milik Strata 1985, (Akta 318) yang juga selaras dengan garis panduan yang disediakan oleh KPKT.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.