Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

38) KOMUNITI INDIA KG FAJAR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kg Fajar mempunyai kepadatan penduduk India yang tertinggi di DUN Hulu Kelang. Apakah syarat yang dikenakan oleh Kerajaan bagi mengiktiraf penyusunan komuniti India dengan pelantikan seorang ketua?

    Sebagaimana Yang Berhormat Hulu Kelang sedia maklum, negeri Selangor Darul Ehsan merupakan sebuah negeri yang terdiri daripada 9 buah daerah dan mempunyai sebanyak 48 buah kawasan Komuniti India di mana setiap Ketua Komuniti Kaum India tersebut bertindak sebagai wakil di dalam menggerakkan hal ehwal pentadbiran berkaitan masyarakat India di kawasan / komuniti masing – masing. Penyusunan penempatan Ketua Komuniti India di sesebuah kawasan adalah ditentukan berdasarkan persetujuan bersama semua parti – parti yang terlibat mengikut jumlah komuniti kaum India di kawasan berkenaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri senantiasa peka untuk menambah baik tadbir urus melibatkan keperluan rakyat dari semasa ke semasa.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Kelang, proses pelantikan Ketua Komuniti Kaum India (KKI) adalah secara lantikan terus mengikut senarai nama yang telah dipertimbang dan diluluskan oleh parti masing – masing mengikut kuota yang telah dipersetujui. Kriteria pemilihan setiap Ketua Komuniti India yang dilantik adalah seperti berikut :

     

    1. Ketua Komuniti Kaum India yang dilantik mestilah warganegara Malaysia yang berumur dalam lingkungan 30 – 65 tahun;

     

    1. Ketua Komuniti Kaum India yang dilantik bukan kakitangan kerajaan dan tidak memegang sebarang jawatan dalam agensi kerajaan sama ada secara lantikan tetap / kontrak mahupun sambilan;

     

    iii.     Ketua Komuniti Kaum India yang dilantik boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu dengan baik;

     

    1. Ketua Komuniti Kaum India yang dilantik wajib menjalani tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tapisan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dan tapisan rekod salahlaku oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang akan diselaraskan di peringkat daerah mengikut Pejabat Daerah Dan Tanah masing – masing dan sekiranya gagal, pelantikan tersebut akan terbatal dan digantikan dengan calon yang baharu namun tempoh perkhidmatan jawatan berkenaan kekal; dan

     

    1. Ketua Komuniti Kaum India yang dilantik perlu mematuhi arahan dan dasar – dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dari semasa ke semasa.

     

    Dalam pada itu, mana – mana kawasan komuniti India yang tidak mempunyai KKI, adalah disarankan untuk berurusan dengan KKI  di kawasan yang berhampiran sekiranya perlu.

Lampiran

Tiada Lampiran.