Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

53) KONSEP BINA DAN JUAL

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan konsep bina dan jual bagi projek perumahan baru di semua PBT?

    Konsep Bina Kemudian Jual (BKJ) merupakan salah satu (1) daripada empat (4) insentif telah dilancarkan pada 13 April 2007 oleh Kerajaan Persekutuan yang bertujuan untuk penambahbaikan urusan cadangan pemajuan serta penyelenggaraan dan pengurusan hartanah di seluruh negara. Konsep BKJ yang diperkenalkan ini merupakan alternatif kepada konsep jual dan bina yang diamalkan sekarang yang mampu melindungi pembeli rumah. Pengenalan konsep ini secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai yang menimbulkan kesusahan kepada para pembeli.

    Bagi menggalakkan pemaju perumahan melaksanakan konsep BKJ beberapa kemudahan dan insentif telah disediakan oleh Kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri. Antara insentif-insentif yang ditawarkan adalah;

    1. Mengecualikan syarat pembayaran deposit RM200,000.00 bagi lesen pemajuan perumahan.
    2. Keutamaan ‘fast lane’ bagi semua urusan yang melibatkan pemajuan seperti tukar syarat tanah, pecah sempadan, kelulusan pelan susun atur, pelan bangunan dan kelulusan daripada jabatan-jabatan teknikal.
    3. Pemaju boleh menggantikan syarat pembinaan rumah kos rendah dengan rumah kos sederhana.
    4. Pelepasan duti setem.

    Pada dasarnya Kerajaan Negeri menyambut baik dengan insentif yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memberi galakan kepada pemaju untuk melaksanakan konsep BKJ tersebut. Walau bagaimanapun pada 19 Januari 2008, Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan bahawa penggantian pembinaan rumah kos rendah kepada kos sederhana hanya akan dipertimbangkan secara berasingan dan sebarang permohonan pengecualian perlu dibawa ke pertimbangan Kerajaan Negeri. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor permintaan terhadap rumah kos rendah (RKR) di Negeri Selangor khususnya di kawasan-kawasan bandar-bandar utama masih lagi diperlukan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

    Memandangkan kuasa terhadap pemaju terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), maka peranan Kerajaan Negeri adalah agak terhad untuk mewajibkan semua pemaju mengguna pakai Konsep BKJ ini di samping masalah kemelesetan ekonomi global yang melanda kini yang memberi kesan secara langsung kepada pelaksanaan konsep ini.

     

    Walau bagaimanapun terdapat juga pemaju yang berani untuk mengambil risiko dengan mengguna pakai konsep 10/90. Sebagai contoh Syarikat SP Setia Berhad yang telah melaksanakan skim Pakej Pinjaman Perumahan SP Setia 5/95. Berdasarkan kepada pakej ini, pembeli hanya perlu membayar sebanyak 5% daripada harga rumah dan bakinya dijelaskan sebaik rumah tersebut siap untuk diduduki.

Lampiran

Tiada Lampiran.