Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

236) KONTRAKTOR SISA PEPEJAL & PEMBERSIHAN AWAM

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan terkini kerajaan negeri untuk menyusun semula sistem kontraktor sisa pepejal dan pembersihan awam?

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah pun mengambilalih sepenuhnya kerja- kerja perkhidmatan kutipan sampah dan perkhidmatan pembersihan awam daripada syarikat Alam Flora Sdn Bhd sejak 1 Mac 2012. Pengambilalihan ini telah menggerakkan setiap PBT untuk bertanggungjawab ke atas perkhidmatan kutipan sampah dan perkhidmatan pembersihan awam di kawasan masing-masing.

     

    Susulan daripada pengambilalihan ini, setiap PBT telah melaksanakan sendiri proses penetapan skop kerja, proses penyediaan tender dan termasuklah proses pelantikan kontraktor bagi kedua-dua perkhidmatan yang disebutkan itu di kawasan pentadbiran masing-masing. Mengetahui akan betapa kritikalnya isu ini, sebagai sebuah negeri yang prihatin yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama dalam pentadbiran, pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengkaji dan mencari penyelesaian kepada isu-isu berkaitan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

     

    Di antara rancangan terkini pihak Kerajaan Negeri untuk menyusun semula sistem kontraktor sisa pepejal dan pembersihan awam adalah dengan menubuhkan suatu entiti induk atau Project Management Company (PMC) di bawah Kerajaan Negeri yang menguruskan dan memantau keseluruhan rantaian operasi sisa pepejal dari proses kutipan sehinggalah kepada pelupusan dan pembersihan awam.

     

    Melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 7/2016 yang diadakan pada 24 Februari 2016 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 8/2016 pada 2 Mac 2016, syarikat milik penuh Kerajaan Negeri iaitu KDEB Waste Management Sdn Bhd telah pun dilantik sebagai PMC bagi pelaksanaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu yang

     

    akan diterokai di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai projek perintis (Pilot Project) yang dijangkakan beroperasi pada pertengahan 2016. Ahli-ahli mesyuarat juga telah bersetuju bahawa PMC adalah suatu entiti bebas yang hanya mengendalikan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

     

    Di antara cadangan strategi Kerajaan Negeri untuk menyusun semula sistem kontraktor sisa pepejal dan pembersihan awam di bawah pengurusan PMC adalah dengan :

    1. Mengekalkan perkhidmatan kontraktor sedia ada jika perkhidmatan mereka itu memenuhi KPI yang telah ditetapkan oleh PBT;
    2. Proses perolehan kontraktor di zon-zon yang memerlukan kontraktor perlu dilaksanakan secara tender terbuka bagi mengelakkan pemonopolian;
    3. Memperkenalkan sistem pengurusan yang lebih telus dan berkesan dengan mengasingkan peranan paymaster (PBT) dan PMC;
    4. Memberikan latihan yang komprehensif kepada kontraktor-kontraktor;
    5. Menggabungkan kontraktor kutipan dan kontraktor pembersihan di dalam satu zon yang sama;
    6. Memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan KPI dengan parameter yang lebih dinamik;
    7. Mewujudkan suatu sistem yang seragam daripada segi pelantikan kontraktor dan dokumen tender; dan
    8. Mengkaji semula   kadar   harga   kontrak   sedia   ada  yang  rendah                    yang memberikan kesan kepada kecekapan

    Pihak UPEN akan menjadi agensi untuk mengenal pasti kejayaan dan kegagalan pengurusan PMC dalam projek perintis ini dan akan memperbaiki atau meningkatkan mutu perkhidmatan PMC di mana berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.