Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

311) KRISIS BEKALAN AIR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan satu pelan yang lengkap untuk mengelakkan masalah bekalan air, khasnya di DUN Teratai?

    Masalah gangguan air yang dihadapi oleh penduduk di Negeri Sleangor termasuk DUN Teratai adalah berkait rapat dengan rizab bekalan air yang pada ketika ini amat nipis sekali, iaitu pada kadar 2%. Negeri Selangor merupakan negeri yang menjadi tumpuan di mana kadar pertumbuhan penduduk di Negeri Selangor adalah pada kadar 2.7%. Dengan rizab yang nipis ditambah dengan pertumbuhan penduduk yang tinggi, menjadikan permintaan terhadap bekalan air menjadi semakin tinggi. Namun keadaan permintaan air yang tinggi ini turut dipengaruhi oleh kadar kehilangan air tak berhasil (NRW) yang masih tinggi iaitu sekitar 34.00% setakat 31 Disember 2014.

    Kegagalan SYABAS untuk menurunkan NRW kepada sasaran iaitu sekitar 20% pada tahun 2012 setelah berbelanja kira-kira RM1billion telah menyumbang kepada rizab bekalan air yang nipis di mana kegagalan tersebut telah menyebabkan pengguna Negeri Selangor dinafikan untuk mendapat potensi tambahan air bersih sebanyak lebih 600Mld yang mampu memenuhi keperluan sehingga selepas tahun 2020.

    Untuk penyelesaian jangka pendek, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang dijadualkan siap pada akhir tahun 2015 ini. Dengan siapnya Projek Pembangunan Langat 2, Fasa 1 yang dijadualkan pada tahun 2017, ia dapat meningkatkan bekalan air bersih sebanyak 1130 JLH meliputi kawasan agihan bekalan air seperti berikut:-

    • 520 JLH ke kawasan Petaling, Sg Besi, Kinrara dan Puchong (Koridor Barat);
    • 325 JLH ke kawasan KL Selatan dan Pusat Bandar Kuala Lumpur; dan
    • 285 JLH ke kawasan Ampang, KL Timur dan KL Utara (Koridor Utara)

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah bersetuju dengan pelaksanaan Pemindahan Air 500JLH Dari Terowong Langat 2 ke Sg. Langat oleh Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Projek ini adalah bertujuan untuk memperkasakan daya ketahanan (resilience) Sg. Langat dalam usaha menyedia kecairan air sungai (dilution) utk LRA Cheras Bt. 11 dan Bukit Tampoi. Projek telah disiapkan pada 6 Februari 2015.

    Kerajaan Negeri Selangor pada masa yang sama juga sedang membangunkan Projek Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) bagi menambah sumber air mentah di Sungai Selangor. Dengan terlaksananya projek HORAS ini, pengeluaran air terawat dari Loji SSP 1, SSP 2 dan SSP 3 dapat dioptimumkan pengeluarannya bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

    Untuk penyelesaian bekalan air jangka panjang, Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan sasaran utama memastikan bekalan air sentiasa mencapai kualiti yang baik dan kuantiti yang mencukupi selepas tahun 2021, meningkatkan rizab bekalan air bersih kepada kadar 15% dan memastikan kadar NRW dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 25% pada tahun 2021. Bagi mencapai sasaran tersebut, beberapa projek pembangunan sumber air telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11) antaranya adalah seperti berikut:-

    • Projek Pemulihan Sumber Air Sungai Langat Untuk Loji Bukit Tampoi dan Batu 11 Cheras dengan tujuan untuk menyediakan kemudahan (fasiliti) untuk mengurangkan kandungan ammonia di dalam Sungai Langat bagi memastikan pengeluaran yang konsisten sepanjang
    • Penyaluran Air Mentah Sungai Bernam Meningkatkan dan memperkasakan keupayaan sumber air mentah di Sungai Selangor
    • Pembangunan ORS Semenyih Mengadakan sumber air tambahan 200 JLH untuk sistem bekalan air
    • Pembangunan sumber air mentah Lembangan Sungai Klang Menambah keperluan sumber air mentah bagi menangani pertambahan permintaan bekalan air untuk kawasan sekitar koridor Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya KESAS termasuk Shah Alam Selatan, Klang Selatan, Banting dan
    • Menambah Kapasiti Empangan Tasik Subang Meningkatkan yield sumber air sebanyak 100 JLH untuk pembesaran loji North
    • Pembangunan Sumber Air Di Pulau Ketam Mencari sumber air mentah bagi menampong permintaan air bersih di Pulau Ketam, Negeri Selangor
    • Pemasangan Paip Agihan Di Koridor Selatan (Hulu Langat) Untuk Sistem Agihan Langat 2
    • Program Penggantian Paip Lama

    Kerajaan Negeri Selangor juga merancang untuk membuat satu kajian menyeluruh mengenai sumber air mentah, permintaan dan pembekalan serta pengagihan air terawat meliputi seluruh Negeri Selangor dalam usaha untuk meneliti dan menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh pengguna di seluruh Negeri Selangor. Hasil kajian ini kelak boleh digunakan untuk menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta mengujudkan satu sistem inter-connectivity yang menyeluruh.

Lampiran

Tiada Lampiran.