Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

120) KRISIS MAKANAN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan krisis ekonomi sering diikuti dengan krisis makanan dan menimbulkan pelbagai masalah pada rakyat yang miskin. Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan masalah krisis makanan tidak berulang lagi khususnya semasa krisis ekonomi

    Kerajaan Negeri percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai sumber makanan dan merupakan sumber pendapatan utama golongan petani, penternak dan nelayan khususnya di kawasan luar bandar. Saya ingin menegaskan di sini bahawa krisis makanan tidak berlaku di negeri ini. Namun demikian, bagi memastikan masalah krisis makanan tidak berlaku, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian telah memperkenalkan program-program berikut :

    • Program Pembangunan Taman Agroteknologi / Tanaman Kekal

    Pengeluaran Makanan 

    Objektif program ini adalah untuk mewujudkan kawasan pengeluaran pertanian kekal, berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara dan Negeri. Pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk mengeluarkan hasil pertanian terpilih, bermutu dan bernilai tinggi untuk membantu menampung keperluan makanan negara di samping berfungsi sebagai kawasan agro pelancongan. Program ini turut membantu mengatasi masalah kekurangan tanah untuk pengeluaran makanan yang sering dihadapi oleh usahawan tani dan sektor swasta.

    • Program Tanaman Makanan

    Program ini memfokuskan kepada tanaman makanan utama iaitu padi, buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa dan tanaman jangka pendek. Selain memenuhi permintaan penduduk tempatan, program ini juga bertujuan untuk mengurangkan bilangan import (imbangan perdagangan) terutamanya bagi tanaman bernilai tinggi seperti tanaman cili, timun dan tomato. Pemulihan kawasan tanaman sedia ada, pelaksanaan penanaman baru dan amalan teknologi moden seperti penggunaan benih bermutu tinggi, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan menggunakan kaedah fertigasi, pembaikpulihan pengairan dan saliran, implementasi teknologi perladangan persis, penggunaan mekanisasi dan automasi serta amalan pengendalian lepas tuai akan dipertingkatkan bagi memastikan peningkatan hasil pengeluaran tanaman makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.