Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

290) KUALITI CAT

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menetapkan ciri-ciri dan kualiti tertentu kegunaan cat bagi projek seperti skim ceria dan kemudahan-kemudahan awam seperti dewan serbaguna?

    Untuk pengetahuan Yang Berhormat, Skim CERIA (Caring Government Resident’s Improvement Aid) adalah merupakan program bantuan baikpulih atau penyelenggaraan harta bersama di kawasan perumahan bertingkat (strata) khususnya untuk pangsapuri kos rendah di Negeri Selangor.

     

    Kerja-kerja mengecat bangunan di bawah Skim CERIA kali terakhir di anugerahkan kepada kontraktor adalah pada tahun 2015. Selepas tahun tersebut, Skim CERIA lebih menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan yang meliputi aspek keselamatan berbanding aspek kecantikan (mengecat bangunan).

     

    Bagi memastikan kerja-kerja mengecat bangunan tersebut dijalankan dengan sempurna, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) telah menetapkan ciri-ciri dan spesifikasi tertentu untuk kerja-kerja mengecat bangunan. Antara spesifikasi yang ditetapkan adalah seperti berikut:-

     

    1. Mengecat satu (1) lapisan cat asas,
    2. Mengecat dua (2) lapisan cat rintangan cuaca di atas permukaan cat asas,
    • Kerja-kerja mengecat hanya pada permukaan luar bangunan yang berkaitan dengan harta bersama sahaja,
    1. Jaminan ketahanan cat yang dikeluarkan oleh pembekal cat adalah selama lima (5) tahun.

     

    Selain itu, untuk makluman Yang Berhormat, kemudahan-kemudahan awam seperti dewan serbaguna tidak termasuk dalam peruntukan Skim CERIA melainkan bangunan tersebut terdapat di dalam komponen pembangunan berstrata.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.