Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

48) KUALITI HIDUP RAKYAT SELANGOR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah visi dan perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor sebagai Òlivable cityÓ dari aspek perumahan, pengangkutan awam, kesenian dan kebudayaan. Apakah cabaran yang dihadapi sekarang dan bagaimana kerajaan negeri mengatasinya.

    Kerajaan negeri Selangor telah  pun melaksanakan Polisi Bandar Selamat pada tahun 2011 dengan pemasangan sistem CCTV yang komprehensif di semua PBT di Selangor (Selangor State CCTV System or “SSCS”) bagi tujuan:

    • Pengurusan trafik jalan raya
    • Keselamatan awam dan pemantauan bagi mencegah dan membendung jenayah di:
    • Kawasan perumahan,
    • Tempat-tempat kemudahan awam dan
    • Jalan raya awam
    • Mengurangkan kadar jenayah serta kelakuan anti-sosial
    • Mengawasi semua pusat komersil serta kawasan awam yang berkepadatan tinggi.
    • Mengintegrasikan SSCS sebagai alat sokongan kepada Polis Diraja Malaysia dengan menyediakan monitor di Ibu Pejabat-Ibu Pejabat Polis terpilih.
    • Ia melibatkan pemasangan 414 unit CCTV di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan yang menelan belanja sebanyak RM117,244,800 yang diurus oleh GTC Technologies Sdn Bhd bagi tempoh 20 tahun.

    Dalam aspek pengangkutan awam, Kerajaan Negeri pernah membuat beberapa tawaran kepada kerajaan Pusat melalui Pemandu utk jajaran MRT mengguna pakai rizab Sungai Klang yang telah digazetkan sepanjang 120 Kilometer dari Ampang ke Klang yang mana bukan saja jika dipersetujui bakal dapat dilaksanakan dengan segera kerana telah digazet malah akan dapat menjimatkan berbillion-billion Ringgit kerana keperluan kepada pengambilan tanah dapat dikurangkan dengan drastik. Namun hingga kini masih tangan yang dihulur Kerajaan Negeri masih belum disambut Kerajaan Persekutuan. Jika ia menjadi kenyataan, pengangkutan awam yang lebih cekap akan dinikmati rakyat negeri Selangor.

    Selain dari Projek Pemuliharaan Sungai Kelang, Paket Rangsangan Ekonomi Selangor juga sedang giat memajukan 144 projek perumahan terbengkalai yang ditinggalkan Barisan Nasional. Yang telah berjaya termasuk Alam Perdana di Kuala Selangor,  Bukit Botak di Gombak, Sungai Sering di Hulu Klang dan Kampung Berembang juga di Hulu Klang.

    Program peningkatan hasil padi juga telah banyak membawa petani menikmati pendapatan yang lebih baik iaitu dari 5.1 metrik tan semusim kepada 7.5 metrik tan semusim.

    Jika dahulu pendapatan mereka di bawah RM1,000 sebulan, kini dari 2,408 pesawah, 55% telah menikmati pendapatan antara RM1,000-RM1,500 manakala 16% telah berjaya mendapat pendapatan melebihi RM1,500.

    Menyentuh soal kebudayaan, Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan tiga pusat kebudayaan di sepanjang Sungai Klang dengan mengambil kira pandangan rakyat.

    Pusat kebudayaan yang merangkumi tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India itu bakal mengembalikan kegemilangan bandar DiRaja Klang sebagai kawasan bersejarah.

    Pusat yang dianggarkan menerima pelaburan sebanyak RM1.339 billion itu akan dibiayai oleh sektor swasta melalui inisiatif Private Funding Initiative (PFI).

    Menjawab pertanyaan dari Pelabuhan Klang, sebenarnya semua yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri adalah untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk sanak keluarga, individu tertentu atau kroni.

    Program-program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor seperti pemberian air percuma 20 meter padu pertama, inisiatif-inisiatif di bawah Geran Selangorku, kesemuanya menjurus kepada meningkatkan kualiti hidup rakyat terbanyak.

    Namun dana yang ada adalah terhad, maka pendekatan yang diambil oleh kerajaan Negeri ialah turun menemui rakyat bagi menjiwai apakah yang benarbenar mereka ingini.

    Lanjutan dari pelancaran Dialog Bajet 2-3 Julai 2012 yang lalu, sesi jelajah ke semua 12 PBT akan dijalankan sepanjang bulan Julai ini untuk mengumpulkan aspirasi mereka bagi dirangkumkan dalam belanjawan negeri bagi tahun 2013.

Lampiran

Tiada Lampiran.