Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

258) KUALITI KEHIDUPAN KELOMPOK M40

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan kelompok M40?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Anggerik, keperihatinan Kerajaan Negeri kepada kebaikan rakyat Negeri Selangor terserlah sejak sekian lama melalui kewujudan program-program peduli rakyat yang turut memberi fokus untuk meningkatkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka. Di antara program yang telah dilaksanakan pada masa kini untuk membantu rakyat Negeri Selangor ialah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Program IPR merupakan program holistik dalam jangka panjang yang tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan semata-mata, tetapi turut memberdaya dan memperkasakan penerima manfaat yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah M40. Di antara program-program IPR yang disasarkan kepada golongan adalah seperti berikut:

    1. Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar);
    2. Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT);
    3. Skim Pinjaman Mikro Kredit HIJRAH Selangor;
    4. Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS); dan
    5. Skim Rumah Selangorku (RSKU).

     

    Selain daripada program IPR, terdapat banyak lagi program sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang dapat membantu menjana pendapatan rakyat sama ada dalam sektor usahawan, pertanian, kesihatan dan juga pendidikan yang boleh dinikmati oleh golongan M40. Program-program penjanaan pendapatan rakyat ini ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Di antara program ini adalah Selangor Digital e-Supply Chain (SELDEC), Selangor Advance dan Pasar Agro Selangor.

    Kerajaan negeri sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap program sedia ada dan merangka program-program baharu yang bersesuaian dan menepati keperluan semua lapisan masyarakat di Selangor, sesuai dengan gagasan Selangor Maju Bersama.

Lampiran

Tiada Lampiran.