Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

123) KUALITI KERJA KONTRAKTOR SYARIKAT UTILITI YANG TERUK

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai mekanisme untuk mengawal kualiti kerja kontraktor-kontraktor syarikat utiliti seperti TNB dan Air Selangor yang melakukan kerja penyelenggaraan dengan melakukan pengorekan jalan raya tetapi mutu tampalan turapan jalanraya amat menyedihkan?

    Bagi mengawal kualiti kerja kontraktor syarikat utiliti, PBT telah melaksanakan perkara seperti berikut:

    1. Sebelum PBT melantik kontraktor melalui jawatankuasa tender/sebutharga. PBT perlu menyemak syarikat kontraktor dari pelbagai sudut iaitu dari segi kecukupan modal, pengalaman dan kepakaran setiap kontraktor termasuklah harga yang ditawarkan;
    2. Syarikat yang terpilih perlulah menandatangani satu perjanjian antara PBT dengan syarikat bagi menetapkan skop kerja dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi;
    3. Syarikat yang dilantik perlulah menyediakan bon pelaksanaan bagi menjamin kualiti kerja yang dilaksanakan mengikut skop dan spesifikasi yang telah dimeterai di dalam perjanjian. Sekiranya projek tersebut gagal mematuhi spesifikasi dan gagal dalam Ujian Ketebalan, syarikat diarahkan untuk menurap semula jalan terbabit mengikut spesifikasi yang ditetapkan;
    4. Kegagalan pihak syarikat untuk melaksanakan arahan tersebut, akan mengakibatkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) tidak dikeluarkan dan seandainya projek tersebut gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, denda lewat (LAD) akan dikenakan; dan
    5. Sekiranya kontraktor tersebut juga gagal menyiapkan projek tersebut selepas tempoh notis arahan siap kerja oleh PBT, barulah tindakan susulan boleh diambil berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai termasuklah menggunakan bon pelaksanaan syarikat tersebut oleh PBT serta syarikat tersebut akan disenarai hitam oleh PBT berkenaan.

     

    Selain itu, PBT akan memantau kerja-kerja utiliti yang dijalankan oleh kontraktor bermula permohonan kerja-kerja korekan diluluskan sehingga ianya siap dilaksanakan. Sebarang perlaksanaan kerja tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan akan menyebabkan wang cagaran/wang tahanan tidak dilepaskan sehingga pembaikan dilaksanakan mengikut spesifikasi PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.