Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

234) KUASA TENAGA SOLAR MATAHARI

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam pembinaan kuasa tenaga solar matahari ?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau Negeri Selangor akan melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016 -2018 pada 2 Ogos 2016. Melalui Pelan Tindakan ini, Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai Negeri Berteknologi Hijau dengan mempelbagaikan sumber tenaga yang boleh diperbaharui termasuk kuasa solar dan penggunaan teknologi hijau yang dapat menjimatkan tenaga. Terdapat 8 tindakan utama di dalam Pelan Tindakan ini yang telah dikenalpasti iaitu:-

    • Perbandaran Hijau Melalui Bandar Rendah Karbon Selangor;
    • Perolehan Hijau Kerajaan;
    • Pemasangan Rangkaian Pengecas Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle) Di Selangor;
    • Penggunaan Kereta Elektrik Sebagai Kenderaan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor;
    • Penggunaan Bas Elektrik Bagi Program ‘Bas Percuma’ Di PBT;
    • Pemasangan Bumbung Solar Bagi Projek Perumahan Selangorku;
    • Bangunan Cekap Tenaga Di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor; dan
    • Program Penghijauan Taman Industri

    Kesemua tindakan yang dinyatakan di atas sedang giat dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dan agensi berkaitan.

    Selain itu juga, bagi pembinaan kuasa tenaga solar Matahari, Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk menggalakkan penjanaan tenaga melalui tenaga yang boleh diperbaharui di samping penggunaan teknologi hijau yang dapat menjimatkan tenaga seperti panel solar dan sistem SPAH di bangunan-bangunan kerajaan dan projek-projek Rumah Selangorku. Sebagai contoh, pada tahun 2015, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM20,000.00 bagi setiap PBT untuk pemasangan panel solar dan sistem SPAH di bangunan-bangunan PBT Negeri Selangor. Manakala perbincangan lanjut dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan pemasangan panel solar di projek-projek perumahan Selangorku pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.