Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

292) KUIL SRI MAHA MARIAMMAN SEAFIELD

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini berkenaan pemindahan Kuil tersebut?

    Kuil Sri Maha Mariamman Hicom Shah Alam adalah sebuah kuil seluas 1.14 ekar yang didirikan di atas sebahagian tanah hakmilik GRN 332479 Lot 92353 berkeluasan 17.25 ekar secara keseluruhannya kepunyaan Pemaju Tetuan One City Development Sdn. Bhd.

    Pihak pemaju telah mencadangkan sebidang tanah yang berstatus Tanah Kerajaan berkeluasan 1 ekar di dalam kawasan USJ 25, Putra Height, Mukim Damansara, Daerah Petaling untuk dijadikan sebagai tapak gantian bagi kuil tersebut. Pada asalnya, tapak ini juga adalah kepunyaan pihak pemaju tersebut yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan Rumah Ibadat Bukan Islam. Tapak ini dikenali sebagai Lot 92406 dan di atas lot ini, pihak pemaju juga telah mendirikan sebuah binaan kekal Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) yang akan diserahkan kepada pihak Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

    Pada masa yang sama, Mahkamah Tinggi telah memutuskan persetujuan penghakiman terhadap isu Kuil Sri Maha Mariamman Seafield agar pihak kuil diberikan tapak ganti di kawasan Putra Height serta pemberian sejumlah amaun daripada pihak pemaju untuk diserahkan kepada pihak Jawatankuasa Kuil. Kerajaan Negeri berpendirian untuk akur terhadap keputusan mahkamah berkenaan isu pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield ini.

    Tindakan pemindahan kuil ini juga sedang di dalam proses penelitian bagi menentukan jawatankuasa yang berhak menguruskan kuil ini memandangkan telah wujud dua (2) jawatankuasa kuil yang berbeza dalam pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

    Memandangkan isu pemindahan kuil Kuil Sri Maha Mariamman Seafield ini telah menjadi isu yang begitu serius dan sensitif di peringkat nasional, perkara ini dalam pertimbangan untuk dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.