Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

89) KUMPULAN DARUL EHSAN (KDEB)

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kos pengutipan sampah setiap rumah selepas KDEB mengambilalih kerja tersebut daripada MPSJ?

    Kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah perkhidmatan yang melibatkan penggunaan jentera dan tenaga buruh yang ramai. Perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ini sememangnya melibatkan kos yang agak tinggi kerana faktor penting yang menentukan kejayaan kedua-dua perkhidmatan kutipan sisa pepejal ini ialah komponen 3M iaitu Machinery, Manpower dan Management yang melibatkan kos yang besar.

    MPSJ akan menjadi PBT ke – 10 yang bakal menggunakan perkhidmatan KDEB Waste Management Sdn. Bhd., sebuah Project Management Company (PMC) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui MBI. KDEB Waste akan mengambilalih sepenuhnya perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di MPSJ mulai 1 Januari 2019.

    Sebagaimana yang telah diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang ke 7/2018 yang diadakan pada 7 Mac 2018 yang telah disahkan  dan diluluskan oleh MMKN ke 8/2018 pada 14 Mac 2018, kos tahunan PBT berkaitan pengurusan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam hendaklah disalurkan kepada PMC untuk tujuan pelaksanaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dan kadar harga perkhidmatan bagi setiap premis yang dikenakan hendaklah tidak kurang daripada kadar harga yang dikenakan oleh PBT sebelum ini.

    MPSJ telah memperuntukkan sebanyak RM27.1 juta untuk kutipan sisa pepejal di dalam bajet 2019 berbanding RM19.9 juta di dalam bajet 2018 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak 36%. Manakala bagi pembersihan awam pula, bajet yang telah diperuntukkan oleh MPSJ bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM29.8 juta berbanding bajet bagi tahun 2018 iaitu sebanyak RM23.6 juta yang melibatkan peningkatan sebanyak 26%.

    Peningkatan peruntukkan bagi tahun 2019 bukanlah disebabkan oleh pengambilalihan oleh KDEB Waste tetapi sebaliknya berdasarkan jumlah inventori semasa yang terdapat di kawasan selain dari sudut economies of scale bagi memastikan kontraktor yang bakal dilantik kelak mampu melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ini dengan menyediakan segala keperluan seperti jentera dan tenaga buruh yang mencukupi.

    Kadar harga bagi setiap unit rumah juga adalah berbeza-beza mengikut status dan kemampuan kewangan PBT . Di dalam konteks MPSJ yang berstatus perbandaran, kadar harga bagi setiap unit rumah yang telah ditetapkan adalah hampir sama dengan kadar yang ditetapkan oleh PBT yang berstatus perbandaran yang lain di Selangor.

    Perlu saya maklumkan di sini bahawa kadar harga yang diberikan oleh MPSJ kepada KDEB Waste sebenarnya adalah jauh lebih rendah daripada kadar harga yang dianggarkan oleh KDEB Waste di MPSJ. Anggaran harga KDEB Waste adalah berpandukan kadar harga untuk setiap premis yang digunapakai oleh syarikat-syarikat konsesi di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di peringkat persekutuan. KDEB Waste akan menampung segala kekurangan kos operasi melalui mekanisme cross subsidized dari sedikit keuntungan yang diperolehi daripada perkhidmatan yang diberikan di PBT yang lain dan juga bantuan dari Kerajaan Negeri sendiri melalui UPEN.

Lampiran

Tiada Lampiran.