Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

113) KUMPULAN PERANGSANG SELANGOR BHD (KPSB)

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan KPSB pada tahun 2017?

    Sebagai sebuah syarikat pelaburan, strategi kami adalah untuk mengambilalih pegangan majoriti di dalam syarikat yang mempunyai prestasi kewangan yang kukuh, merupakan peneraju atau market leader di dalam industrinya dan mempunyai prospek untuk berkembang.  Selepas pengambilalihan sesebuah syarikat, secara umumnya kami tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan harian syarikat tersebut. Walau bagaimanapun, sebagai pemegang saham majoriti, Perangsang Selangor dapat mempengaruhi hala tuju syarikat tersebut pada peringkat strategik dan juga melalui wakil kami yang terlantik di kalangan individu yang berpengalaman dalam bidang berkaitan.

    Pada tahun 2016, Perangsang Selangor telah mengambilalih pegangan majoriti di dalam tiga buah syarikat iaitu Smartpipe Technology Sdn Bhd, Kaiserkorp Corporation Sdn Bhd dan Aqua-Flo Sdn Bhd yang masing-masingnya terlibat di dalam industri yang berlainan.  Pada masa yang sama, Perangsang Selangor juga sedang dalam proses pengambilalihan Century Bond Bhd yang dijangka akan dimuktamadkan pada suku tahun keempat 2016.

    Pada tahun 2017, Perangsang Selangor berhasrat untuk menumpukan usaha dalam melaksanakan dan merealisasikan value creation plan yang telah dirancang untuk setiap pelaburan tersebut. Pertumbuhan perniagaan syarikat-syarikat ini akan secara langsung mengukuhkan lagi kedudukan kewangan Perangsang Selangor dan seterusnya meningkatkan nilai pemegang-pemegang saham, termasuk anak-anak syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan sebagainya.

    Smartpipe Technology Sdn. Bhd. menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu non-revenue water di negara ini.

    Kaiserkorp Corporation Sdn. Bhd. terlibat dalam bisnes perlesenan bagi jenama tilam terkemuka King Koil di 80 buah negara melalui 31 pemegang lesen yang menjanakan pendapatan royalti kepada syarikat.

    Aqua-Flo Sdn. Bhd. adalah syarikat yang terlibat dalam membekalkan bahan kimia kepada industri perkhidmatan air.

    Century Bond. Bhd. adalah sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mana aktiviti utamanya adalah pengeluaran beg kertas untuk pembungkusan simen.

Lampiran

Tiada Lampiran.