Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

31) KURSUS KHAS MELIBATKAN PEMIMPIN MASYARAKAT

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah ada dalam perancangan Kerajaan Negeri untuk melibatkan pemimpin masyarakat seperti Penghulu, Ketua Kampung dan Nazir Masjid diberi kursus khas berkaitan rundingcara atau kaunseling keluarga? Memandangkan mereka menjadi rujukan utama masyarakat

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi mengambil maklum bahawa pemimpin masyarakat seperti Penghulu, Ketua Kampung dan Nazir Masjid merupakan diantara  individu yang dekat  dengan masyarakat. Selain bertanggunjawab memimpin dan mengurustadbir kampung, mereka juga merupakan individu yang menjadi tempat meminta nasihat dan menjadi tempat rujukan oleh masyarakat sekiranya timbul masalah rumahtangga atau perkara-perkara berkaitan kekeluargaan. Justeru itu sudah semestinya mereka perlu dibekalkan dengan kemahiran berkaitan rundingcara atau kaunseling keluarga,  bagi memastikan khidmat nasihat yang diberi tepat dan sekaligus membantu menyelesaikan masalah yang diutarakan.

    Sehubungan itu, Jawatankuasa ini melalui Sekyen Sektoral akan membuat kolaborasi dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) untuk  mewujudkan apa yang dinamakan sebagai rakan mediasi. Rakan mediasi akan berfungsi sebagai perantara bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan hubungan kekeluargaan dan rumahtangga, sekali gus diharapkan

    dapat membantu mengurangkan kadar kes perceraian di kalangan masyarakat. Program yang akan dinamakan sebagai “Rakan Mediasi dan Rakan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)” ini akan melibatkan Ketua Kampung, Imam dan Nazir Masjid di seluruh Negeri Selangor. Secara umumnya, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membantu masyarakat Islam di Negeri Selangor yang sedang berhadapan dengan konflik atau perbalahan rumahtangga untuk mendapatkan khidmat mediasi di mana-mana masjid atau di mana-mana tempat yang bersesuaian yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Secara tidak langsung program ini diharapkan akan turut membantu menurunkan kadar perceraian di kalangan orang Islam yang semakin meningkat pada setiap tahun di Negeri Selangor.

    Bagi memperkasa fungsi dan peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) berhubung isu yang diutarakan. 3 Biro yang berkaitan di dalam MPKK iaitu Biro Pemantapan Spiritual, Biro Kebajikan dan Sukarelawan serta Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga akan bekerjasama dengan agensi – agensi yang berkaitan seperti KEMAS, JAIS, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JAKIM dan lain – lain agensi yang akan dikenal pasti kemudian bagi membantu Penghulu, Ketua Kampung serta Nazir Masjid bagi menangani permasalahan yang berkaitan dengan isu kekeluargaan terutamanya dari segi memberi khidmat nasihat, runding cara dan kaunseling.

Lampiran

Tiada Lampiran.