Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

123) KUTIPAN HASIL NEGERI

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memaksimumkan hasil kutipan negeri sekali gus memperbaiki kelemahan mekanisme kutipan hasil-hasil negeri?

    Banyak usaha yang dilakukan lebih menjurus kepada mengutip hasil cukai tanah memandangkan hasil tanah merupakan hasil yang utama dengan menyumbang sebanyak 60%-80% kepada kutipan hasil negeri setiap tahun. Usaha Kerajaan Negeri untuk memaksimumkan hasil kutipan negeri sekaligus memperbaiki kelemahan mekanisme kutipan hasil-hasil negeri adalah melalui:-

    1. Pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops. Kutip 2011) dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pusat ICT Selangor sebagai satu pasukan. Di antara pendekatan yang dilaksanakan melalui Ops.

    Kutip adalah seperti berikut:-

    1. Polisi ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
    2. Mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
    3. Memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
    4. Sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A, Rampasan Tanah akan dilaksanakan.

    Pencapaian sehingga 30 Jun 2011, berdasarkan sasaran Ops Kutip 2011 adalah berjumlah RM35.64 juta, jumlah tunggakan cukai tanah yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak RM17.68 juta atau 49.63%.

    1. Kerajaan Negeri terutamanya melalui Pejabat Tanah dan Daerah sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui beberapa kaedah iaitu:-
      1. Mengenalpasti serta mengasingkan semua hakmilik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
      2. Membuka kaunter kutipan di luar pejabat bagi Pejabat Tanah Daerah di kawasan pedalaman; iii. Membuka kaunter pada waktu rehat; dan
      3. Menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara online dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
    2. Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Pegawai Kewangan Negeri dan di Peringkat Daerah ianya dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah. Jawatankuasa tersebut berfungsi untuk melaksanakan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hakmilik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua Pejabat Daerah.
    3. Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Jawatankuasa Tunggakan Cukai Tanah Anak-Anak Syarikat bagi memantau cukai tanah yang tidak dapat dijelaskan oleh Anak Syarikat Kerajaan Negeri. Tunggakan cukai tanah Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri pada 31 Julai 2010 adalah sebanyak Sehingga 30 Jun 2011, tunggakan cukai tanah Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri telah berjaya dikurangkan kepada RM28.20juta.
    4. Bagi meningkatkan hasil daripada bahan batuan, Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah mensasarkan kutipan hasil pasir sebanyak RM16 juta bagi tahun 2011 dimana sehingga 30 Jun 2011, sebanyak 5 juta (71.8%) telah berjaya dicapai.
    5. Bagi meningkatkan hasil daripada premium tanah, Kerajaan Negeri melaksanakan Program Pemutihan Kilang Haram di mana kelulusan pemberimilikan tanah diberikan dan pemohon dikehendaki membayar Cukai Tanah Tahun Pertama dan Premium Tanah. Program tersebut dilanjutkan sehingga Disember 2011. Kerajaan Negeri menguatkuasakan pekeliling yang menetapkan supaya pemohon membayar dalam tempoh 3 bulan dengan tempoh pelanjutan bayaran premium hanya selama 1 bulan sahaja dan kelulusan pemberimilikan tersebut terbatal sekiranya pemohon gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu, pemohon akan segera membayar premium tanah.
    6. Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan bayaran RM1,000.00 untuk pemberimilikan tanah bagi tujuan rumah kediaman. Langkah ini dijangka akan dapat meningkatkan lagi hasil premium bagi tahun 2011. Prestasi Premium Tanah sehingga 30 Jun 2011 adalah 47 juta iaitu peningkatan sebanyak RM0.73 juta atau 0.4% berbanding kutipan pada 30 Jun 2010 iaitu sebanyak RM182.74 juta.

    Adalah dijangkakan dengan segala usaha yang telah dijalankan secara bersepadu dengan melibatkan semua jabatan lain, Perbendaharaan Negeri Selangor yakin sasaran kutipan sebanyak RM1.43 billion bagi tahun 2011 akan dapat dicapai.

Lampiran

Tiada Lampiran.