Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

16) KUTIPAN PARKIR DI KAMPUNG TRADISI, KG BARU CINA, KG NELAYAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, adakah Kerajaan Negeri dapat menghadkan kutipan hasil parkir di Kg tradisi, Kg Baru dan Kg Nelayan?

    Perkara bagi mengadakan tempat letak kereta dan tempat perhentian telah dijelaskan di dalam Seksyen 72 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) seperti berikut:

    “Mana-mana pihak berkuasa yang berkenaan atau badan awam boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengadakan tempat letak kereta yang sesuai bagi kenderaan-kenderaan atau tempat perhentian bagi kenderaan-kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan-kenderaan barangan mengikut Akta ini, dan bagi maksud itu boleh:

    • menggunakan mana-mana tanah yang boleh diperoleh atau diuntukkan dengan sah di sisi undang-undang bagi maksud itu; atau
    • melalui perintah itu membenarkan penggunaan mana-mana bahagian sesuatu jalan sebagai tempat letak kereta atau tempat perhentian bagi kenderaan-kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan-kenderaan barangan.

    Oleh yang demikian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa dalam mengenakan kutipan parkir terhadap kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan kutipan parkir. Penentuan kawasan yang akan dikenakan caj parkir akan diputuskan secara kolektif melalui mesyuarat di PBT yang turut melibatkan Ahli Majlis. Walaubagaimanapun, Yang Berhormat ADUN boleh mengemukakan sebarang pandangan dan cadangan ke atas kesesuaian  setiap kawasan yang dikenakan caj parkir oleh PBT.

Lampiran

Tiada Lampiran.