Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

149) LALUAN BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk menambah lebih banyak laluan Bas Smart Selangor terutamanya di dalam kawasan luar bandar DUN Pelabuhan Klang seperti Pulau Indah, Telok Gong, Kampung Pendamar, Kampung Idaman dan Pandamaran Jaya?

    Izinkan saya menjawab bersekali dengan soalan daripada Yang Berhormat Pelabuhan Klang yang bertanyakan soalan berkaitan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan luar bandar.

    Sambutan terhadap perkhidmatan Bas Smart Selangor yang sangat memberangsangkan telah menunjukkan maklumbalas yang positif kepada Kerajaan Negeri untuk sentiasa menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi fokus kepada penambahbaikan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan tambahan laluan-laluan baru yang akan dilaksanakan berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor iaitu:

    • Menepati struktur Bus Network Revamp oleh SPAD iaitu tidak bertindih dengan laluan operator perkhidmatan bas sedia ada;
    • Perlu mengutamakan laluan kawasan-kawasan tumpuan pembangunan, perumahan padat dan jalan yang tidak dilalui oleh perkhidmatan bas lain;
    • Lokasi bagi laluan bas percuma ini adalah di kawasan tumpuan kemudahan awam seperti pusat kesihatan, pejabat kerajaan, sekolah, stesen komuter, stesen LRT dan sebagainya serta kawasan komersil dan kompleks perniagaan; dan
    • Mempunyai connectivity dengan sistem pengangkutan yang lain seperti stesen komuter atau stesen LRT/MRT/BRT.

    Bagi kawasan yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Jeram dan Yang Berhormat Pelabuhan Klang, Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah perlu melihat kesesuaian laluan berkenaan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan seterusnya mengemukakan cadangan tersebut kepada Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, berdasarkan kriteria, perkhidmatan Bas Smart Selangor tidak dapat disediakan sekiranya laluan tersebut telah mempunyai perkhidmatan bas komersial sedia ada ataupun faktor jalan raya yang sempit dan memerlukan bas bersaiz mini terutamanya bagi laluan di kampung-kampung kerana laluan-laluan yang dicadangkan masih perlu mendapatkan ulasan dan sokongan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selaku badan yang bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan permit laluan serta kebenaran operasi bagi semua perkhidmatan bas termasuk di Negeri Selangor.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Kuala Selangor akan sentiasa mengambilkira keperluan yang terbaik untuk penduduk-penduduk di kawasan yang terlibat, dengan mengambilkira segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat untuk dikaji semula serta membentangkan cadangan laluan yang bersesuaian sekiranya terdapat keperluan mendesak.

Lampiran

Tiada Lampiran.