Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

126) LALUAN SISTEM MASS RAIL TRANSIT “MRT” DI KAJANG

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Lee Chin Cheh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Laluan MRT akan berakhir di Bandar Kajang dan beroperasi pada tahun 2017. Sama ada Kerajaan Negeri akan mengkaji dan menggubal pelan induk sistem pengangkutan dalam Negeri Selangor dan dalam kawasan Kajang khususnya supaya manfaat sistem MRT dioptimumkan?

    Pelan pengangkutan awam darat merupakan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Peranan Kerajaan Negeri adalah bekerjasama dengan memberi pandangan dan maklum balas terhadap perancangan yang dibuat oleh pihak SPAD. Namun demikian, Jawatankuasa Induk Pengangkutan Awam yang diurusetiakan oleh SPAD dan dipengerusikan oleh Pengarah UPEN Selangor telah dibentuk di peringkat Negeri yang bertujuan untuk membincangkan isu dan masalah pengangkutan awam di Selangor serta perlaksanaan projek-projek yang berkaitan pengangkutan

     

    SPAD telah menyediakan ‘Draft Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley Public Transport Master Plan’ iaitu Pelan Induk bagi kemudahan pengangkutan awam darat yang meliputi pengangkutan berasaskan rel, bas dan teksi.

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui UPEN bersama JPBD Negeri Selangor telah mengadakan Bengkel ‘Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley Public Transport Master Plan’ pada 6 Mac 2012 dengan dihadiri oleh pihak SPAD, semua Pihak Berkuasa Tempatan, Lembaga Lebuh raya Malaysia, JKR Negeri Selangor dan Bahagian R&D JPBD Semenanjung Malaysia. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincangkan dan memberi maklum balas terhadap ‘Draft Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley Public Transport Master Plan’ khususnya di dalam konteks Negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor juga telah menyediakan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang turut memberi fokus utama terhadap mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan memperluaskan lingkungan pengangkutan awam secara bersepadu dan turut menggalakkan Pembangunan Berasaskan Transit (TOD).

     

    Agenda pengangkutan awam merupakan antara fokus utama Kerajaan Negeri dan sentiasa diberi perhatian khusus terutama yang melibatkan penggunaan

     

    orang ramai terhadap pengangkutan awam yang tidak menggalakkan. Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negeri juga turut berperanan membincang dan meluluskan secara dasarnya jaringan pengangkutan awam seperti Projek sambungan LRT Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya serta Projek MRT dari Kajang ke Sungai Buloh.

     

    Bagi pengangkutan bas henti-henti, Pihak Berkuasa Tempatan akan menyediakan cadangan laluan bas dan akan diselaraskan oleh UPEN Selangor untuk dikemukakan kepada pihak SPAD untuk diambil tindakan.

     

    Di samping itu, Rancangan Tempatan yang diwartakan di Negeri Selangor juga telah menyediakan pelan-pelan pengangkutan awam secara komprehensif yang diselaraskan dengan Pelan Guna tanah di dalam bentuk spatial bagi perancangan masa hadapan.

     

    Selain itu, satu Majlis Pengangkutan Awam Negeri Selangor akan ditubuhkan yang akan dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor dan dianggotai oleh Y.B. Exco Kerajaan Negeri dan agensi teknikal berkaitan serta diurusetiakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor. Majlis ini akan berfungsi seperti berikut:-

     

    1. merangka suatu dasar bagi pembangunan pengangkutan awam di Negeri Selangor;

     

    1. menasihati agensi    berkaitan    dalam    penyediaan   dan                       pelaksanaan pengangkutan awam bagi Negeri Selangor;

     

    • merancang dan menyelaras penyediaan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam bagi Negeri Selangor; dan

     

    1. v) memantau dan mengawasi pelaksanaan kajian, tatacara penyediaan pengangkutan awam di Negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.