Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

107) LAMBAKAN PEKERJA ASING

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan kerajaan Negeri dalam menangani lambakan pekerja asing di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri menyedari hakikat lambakan pekerja asing ini telah  menyumbang  pelbagai impak negatif kepada ekonomi, sosial dan persekitaran. Pada asalnya kedatangan warga asing ini adalah bagi mengisi keperluan pekerjaan dalam bidang tertentu seperti pertanian dan pembinaan. Namun demikian, pekerja asing ini dilihat telah mengambil alih ekonomi rakyat tempatan dan semakin berani menutup periuk nasi rakyat tempatan. Kehadiran pekerja asing membawa budaya dan imej yang buruk kepada masyarakat dan keadaan persekitaran seterusnya membantutkan usaha-usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan.

     

    Untuk makluman YB, kawalan dan dasar pengambilan warga asing adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Bidang kuasa kemasukan, penempatan dan pengambilan pekerja asing adalah di bawah tanggungjawab dan kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia.

     

    Namun demikian, Kerajaan Negeri boleh membantu mengurangkan lambakan pekerja asing melalui pelaksanaan polisi dari sektor ekonomi. Kerajaan Negeri Selangor menfokuskan kepada ekonomi berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran tenaga kerja berkemahiran tinggi. Pelaksanaan dasar ini dilihat akan membuka peluang yang lebih kepada pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga giat melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap lesen perniagaan yang diberikan. PBT akan mengambil tindakan menyita dan membatalkan lesen perniagaan sekiranya didapati penduduk tempatan memberikan lesen perniagaan kepada pendatang asing tanpa izin.

Lampiran

Tiada Lampiran.