Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

99) LANGKAH KESELAMATAN BANGUNAN PANGSAPURI KEDIAMAN PKNS

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan bangunan pangsapuri kediaman di bawah PKNS di seluruh Negeri Selangor ekoran kejadian keretakan struktur bangunan Pangsapuri Taman Keramat?

    PKNS sentiasa prihatin dengan keselamatan fizikal bangunan dan premis kediaman yang dijual dan diduduki oleh pembeli.  Dengan ini, PKNS menyelaraskan keselamatan bangunan, terutamanya pangsapuri kediaman berasaskan akta-akta dan peraturan seperti termaktub di dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan)  2007 dan Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 selain daripada merujuk kepada Standard Operating Policy & Procedures yang berkaitan.

     

    Inisiatif bagi memastikan keselamatan bangunan pangsapuri kediaman di bawah PKNS di seluruh Negeri Selangor diambil di peringkat rekabentuk bangunan.  Pihak Jurutera, Arkitek dan Mekanikal & Elektrikal (M&E)  yang dilantik oleh pihak PKNS juga perlu bertanggungjawab di atas pembinaan bangunan tersebut bagi memenuhi keperluan berkaitan terhadap isu keselamatan ini.

     

    Badan Pengurusan Bersama (JMB) ditubuhkan dan menetapkan tugas dan kuasa JMB termasuklah penyenggaraan bangunan serta harta bersama supaya sentiasa dalam keadaan baik dan membuat pembaikan apabila perlu.

     

    Bagi bangunan yang masih belum mempunyai JMB (‘Joint Management Body’), kerja-kerja penyenggaraan sedia ada di mana ia melibatkan kerosakan-kerosakan kecil seperti longkang bocor/tersumbat, paip tersumbat, keretakan ‘hairline’ dan lain-lain lagi untuk kawasan gunasama (‘common area’) dilaksanakan oleh Bahagian Urus Harta PKNS.

     

    Sementara itu, kerja-kerja penyenggaraan yang utama, turut dilaksanakan oleh pihak JMB yang telah dilantik. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Bahagian/ Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) turut memainkan peranan dalam memantau kerja-kerja penyenggaraan.

     

    JMB memainkan peranan untuk memastikan pemantauan dan penyenggaraan bangunan dilaksanakan secara berkala dan konsisten.  Pembeli juga hendaklah membayar caj penyenggaraan supaya pangsapuri dan harta bersama dapat dijaga dengan baik.

     

    Bagi kejadian-kejadian yang di luar jangkaan pihak PKNS, ianya adalah merupakan tanggungjawab sosial PKNS bagi membantu penduduk di kawasan-kawasan pembangunan PKNS.

     

    Penubuhan jawatankuasa bencana ‘ad hoc’ juga bertindak  bagi  menentukan punca kejadian kerosakan dan seterusnya merangka          tindakan pembaikan berdasarkan khidmat nasihat perunding pakar yang dilantik.

Lampiran

Tiada Lampiran.