Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

100) LATIHAN KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI OLEH BTN

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan bercadang untuk terus menghantar kakitangan-kakitangan awam Kerajaan Negeri ke Biro Tatanegara (BTN) untuk menerima latihan dan kursus yang mempunyai unsur-unsur perkauman dan tidak selari dengan dasar CAT Kerajaan Negeri?

    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia telah mewajibkan anggota perkhidmatan
    awam untuk mengikuti Kursus Kenegaraan yang dikendalikan oleh Biro Tatanegara
    (BTN) tanpa mengira kaum melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun
    2005 bertajuk “Pemantapan Penilaian Tahap Kecekapan”.
    Kursus Kenegaraan merupakan elemen wajib yang perlu diikuti oleh anggota kerajaan
    sebelum menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada peringkat Tahap
    Kecekapan 1, iaitu PTK pertama bagi pegawai yang belum pernah menerima kenaikan
    pangkat dan anjakan gaji. PTK juga merupakan syarat utama bagi kenaikan pangkat
    dan pemberian anjakan gaji untuk semua anggota awam. Walaubagaimanapun, pada
    Tahap-Tahap Kecekapan yang seterusnya, Kursus Kenegaraan tidak menjadi syarat
    untuk diikuti oleh penjawat awam. Ini bermakna, penjawat awam biasanya akan
    mengikuti Kursus Kenegaraan ini sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatannya.
    Tempoh kursus ini adalah selama lima (5) hari di mana peserta didedahkan kepada
    Modul Kenegaraan seperti berikut:-
    (i) Sejarah Kebangkitan Negara;
    (ii) Kesetiaan kepada Raja, Kerajaan dan Negara;
    (iii) Pengurusan Integriti;
    (iv) Motivasi Diri dan Kumpulan;
    (v) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan; dan
    (vi) Isu dan Ehwal Semasa.
    Justeru, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menyekat penyertaan anggota kerajaan
    bagi mengikuti Kursus Kenegaraan. Sekiranya hak anggota kerajaan dinafikan untuk
    mengikuti kursus tersebut, ianya boleh menimbulkan implikasi negatif kepada kemajuan
    kerjaya bagi 14,000 anggota yang sedang berkhidmat di Kerajaan Negeri Selangor dan
    seterusnya motivasi dan produktiviti jentera Kerajaan Negeri pasti terjejas.

Lampiran

Tiada Lampiran.