Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

90) LATIHAN TERFOKUS USAHAWAN DI DUN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah sasaran usahawan berjaya yang mahu dilahirkan oleh Kerajaan Negeri untuk setiap DUN?

    Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Setiap tahun fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk melahirkan usahawan yang berjaya di mana bukan sahaja tertumpu kepada bilangan usahawan tetapi kepada tahap penembusan dan perkembangan pasaran (market penetration and expansion). Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi, Kerajaan Negeri telah mengadakan Program Peningkatan Keupayaan Reka Bentuk Pembungkusan Produk Usahawan Negeri Selangor (4P) kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa.  Selain itu, bagi usahawan di peringkat permulaan Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan tentang bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan.

    • KATEGORI USAHAWA

    Usahawan dikategorikan pada Tahap 1 (low end) dan Tahap 3 (high end). Usahawan Tahap 1 dikategorikan sebagai usahawan di peringkat asas dengan proses pengeluaran produk secara manual dan separa automatik. Kualiti pembungkusan di tahap rendah dan permintaan pasaran pula lebih kecil dan sesuai untuk pasaran domestik. Usahawan Tahap 3 pula  mempunyai ciri-ciri pemprosesan produk secara automatik sepenuhnya, mampu melaksanakan sistem kualiti, melabur dalam penambahbaikan produk dan bersedia mengeksport ke luar negara. Selain itu, permintaan pasaran produk lebih tinggi, pengeluaran berskala besar serta kualiti pembungkusan di tahap tinggi dan jangka hayat di rak lebih lama.

    • DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

    Kerajaan Negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan memberikan  bantuan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap.   Fokus Pembangunan Usahawan adalah untuk memberi bantuan kepada pengusaha mikro melalui sembilan (9) daerah di negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor untuk membantu usahawan-usahawan Industri Mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    • SKOP BANTUAN

    Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak.  Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Skop bantuan adalah seperti berikut:

    • Bantuan pembelian mesin/peralatan/perkakasan;
    • Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf);
    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.