Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

32) LEBUHRAYA DASH

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah keputusan muktamad kerajaan negeri berkenaan pembinaan lebuhraya DASH?

    a) dan b)

     

    Dan untuk mengelakkan kekeliruan dan kecelaruan saya pohon izin daripada Yang Berhormat Tuan Speaker untuk mengambil sedikit masa bagi memberikan fakta tentang pembinaan Lebuh Raya DASH. Untuk makluman Yang Berhormat Dengkil, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan pada 7 Disember 2011 dan disahkan pada 14 Disember 2011 telah menimbang dan bersetuju supaya Jabatan Perancang MBSA dan MBPJ mengkaji dan meneliti dengan terperinci pembinaan lebuh raya ini dan jajaran- jajarannya untuk diselaraskan dengan pelan struktur Kerajaan Negeri Selangor. Selaras dengan keputusan tersebut, pada 8 Februari 2012 sehingga 23 Februari 2012 pihak MBSA dan MBPJ telah mengambil tindakan untuk membentang dan mempamerkan pameran dan taklimat awam. Hasil daripada pameran awam tersebut, maklum balas yang didapati adalah 98% bersetuju dengan pembangunan DASH manakala 2% sahaja yang tidak bersetuju. Setelah tindakan pameran awam tersebut dilaksanakan, cadangan jajaran Lebuh Raya DASH telah sekali lagi dibawa ke Pihak Berkuasa Negeri dalam Mesyuarat MTES pada 12 April 2012 dan kemudiannya di bentang dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 April 2012. Dalam mesyuarat berkenaan, MMKN telah bersetuju supaya jajaran Lebuh Raya DASH dimasukkan ke dalam Pelan Rancangan Tempatan MBSA dan MBPJ. Kerajaan Negeri juga meminta supaya Kerajaan Persekutuan memasukkan klausa apabila kutipan dan keuntungan telah mencapai sasaran. Projek perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Ini termasuk penamatan tempoh konsesi jika pulangan yang diunjurkan dicapai lebih awal. Pada masa yang sama, bagi memastikan pengagihan keuntungan projek yang adil maka klausa untuk down side juga perlu diadakan jika sasaran tidak tercapai. 2 jenis pulangan perlu dinyatakan di dalam perjanjian konsesi berkaitan pembinaan lebuh raya ini iaitu construction return dan equity return. Pada 21 November 2012 laporan EIA telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar. Tempoh kelulusan EIA berkenaan adalah sehingga 21 November 2016. Selain daripada laporan EIA, laporan TIA ataupun Traffic Impact Assesment juga telah disediakan pada 11

     

    Mac 2013 dan dikemukakan kepada agensi yang terlibat iaitu Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan PBT-PBT yang berkenaan. Kemudian daripada itu, jajaran DASH telah dimasukkan ke dalam Draf Rancangan Tempatan Shah Alam dan Publisiti Awam ke atas  Draf Rancangan Tempatan ini telah diadakan pada 22 Ogos sehingga 20 September 2013. Berdasarkan kepada EIA dan TIA yang telah diluluskan itu dan serta pendengaran awam yang telah dibuat maka Kerajaan Negeri  melalui Jawatankuasa Perancang Negeri Bilangan 1 Tahun 2014 yang bersidang pada 10 Februari 2014 telah mengesahkan kemasukan jajaran DASH dalam Rancangan Tempatan Shah Alam Pengubahan 2/2020 MBSA.

    Apabila saya dilantik Menteri Besar pada bulan 37 September 2014, saya telah menerima kunjungan daripada kumpulan “Say No To DASH” pada 16 Disember 2014. Dalam perbincangan tersebut, mereka telah memaklumkan pada prinsipnya mereka menerima pembangunan Lebuh Raya DASH. Namun bantahan yang dikemukakan oleh mereka adalah jajaran yang melalui Damansara Perdana. Perbincangan dengan “Say No To DASH” turut dihadiri oleh Yang Berhormat daripada Bukit Lanjan sebagai wakil kawasan yang berkenaan dan juga Yang Berhormat Ahli Parlimen Subang. Maka, saya telah mengambil inisiatif, saya telah mendengar pandangan dan maklum balas daripada Kumpulan “Say No To DASH” untuk mengadakan perbincangan dengan Yang Berhormat Menteri Kerja Raya Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Fadhilah bin Haji Yusof bersama dengan pegawai-pegawai tertinggi dari Kementerian Kerja Raya Malaysia pada 19 Mac 2015. Dalam pertemuan tersebut, saya memaklumkan tentang isu-isu yang dibangkitkan oleh Kumpulan “Say No To DASH” dan meminta supaya pihak Kementerian dan LLM serta pihak Prolintas dalam meneliti bantahan tersebut dan seterusnya mengemukakan opsyen-opsyen lain terus kepada penduduk-penduduk yang berkenaan dengan mengambil kira pandangan yang telah diluahkan dalam pertemuan tersebut. Saya juga telah meminta pihak Kerajaan Persekutuan mengambil kira pandangan penduduk yang terlibat pada jajaran yang terakhir iaitu yang melalui Damansara Perdana. Pihak LLM dan Prolintas telah mengambil langkah segera untuk mempertimbangkan bantahan-bantahan yang dikemukakan pada ketika, dan pada ketika ini sedang berlaku proses perbincangan dengan pihak penduduk yang berkenaan. Saya difahamkan pihak Prolintas telah mengemukakan design baru untuk jajaran yang terakhir dan akan dikemukakan kepada penduduk untuk mendapatkan maklum balas sebelum keputusan terakhir diperolehi. Dalam pertemuan dengan Yang Berhormat Menteri Kerja Raya tersebut, Kerajaan Negeri juga telah memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan Seksyen 20A di bawah Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 telah menyatakan bahawa menjadi kewajipan setiap jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk berunding dengan Jawatankuasa Perancang mengenai apa-apa aktiviti pemajuan yang ia bercadang untuk dijalankan di dalam negeri itu. Ini bermakna, Seksyen 20A membolehkan enggagement dilakukan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Dalam pertemuan itu juga Kerajaan Negeri telah menegaskan tentang hasrat Kerajaan Negeri untuk merealisasikan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian sebanyak 60:40 berbanding nisbah yang telah ditetapkan oleh SPAD iaitu 40:60. Seperti yang telah saya nyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor, tekanan pembangunan yang pesat di negeri ini telah melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan yang sedia ada. Justeru itu Kerajaan Negeri yakin pembangunan infrastruktur pengangkutan perlu beranjak kepada sistem pengangkutan awam yang bersepadu, berkapasiti tinggi dan lestari serta mesti diselaraskan dengan penggunaan tanah yang optima. Sekali lagi saya ingin menegaskan di dalam Dewan yang mulia ini bahawa lebuh raya bukan penyelesaian mutlak kepada masalah pengangkutan. Pelan struktur sistem pengangkutan awam perlu mengambil kira pandangan ramai

     

    keperluan pertumbuhan baru, kepadatan penduduk dan juga zon  pembangunan TOD di Negeri Selangor. Terima kasih semua.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.