Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

134) LEBUHRAYA EKVE

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan status kelulusan pembinaan Lebuhraya EKVE

    MMKN Ke 45/2014 yang bermesyuarat pada 19 November 2014 secara dasarnya telah bersetuju dengan jajaran jalan Fasa I Projek EKVE dan diwartakan sebagai Rizab Jalan (lebuh raya) serta hasil rumusan mesyuarat penyelarasan antara agensi yang diselaraskan oleh pihak JPBD Selangor pada 22 September 2014 perlu dipatuhi dalam melaksanakan projek ini iaitu:

    1. Setiap perancangan pembangunan masa depan perlu dilaksana lebih teliti dan proses perbincangan dengan penduduk adalah penting.
    2. Bagi cadangan EKVE, proses penglibatan awam telah dijalankan pada 5 peringkat. Bagaimanapun tatacara proses penglibatan orang awam perlu di tambah baik dengan maklumbalas dan perbincangan lebih terbuka:
    • “Public Opinion Survey” (POS) merupakan syarat kerajaan persekutuan yang perlu dijalankan selepas perjanjian konsesi.
    • Penyediaan atau pengubahan Rancangan Tempatan melibatkan proses publisiti dan penyertaan awam (Seksyen 13 Akta 172).
    • Laporan DEIA dipamerkan untuk ulasan dan pandangan orang awam dan penduduk yang terlibat selaras dengan prosedur penyediaan pewartaan Pengambilan Tanah (Seksyen 8) Akta Pengambilan Tanah.
    • Proses Pemansuhan Hutan Simpanan Kekal mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 adalah melalui bantahan awam berdasarkan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.
    • Pendekatan “Intergrated Urban Development” diambil kira dalam penyediaan Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSN) untuk keseimbangan pembangunan perbandaran, aspek sosial, ekonomi, alam sekitar, keperluan sistem perhubungan lebuh raya/jalan raya dan sistem pengangkutan awam yang berkesan.
    • Ke arah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, RSN Selangor 2035 mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 50%. Sasaran ini berdasarkan komitmen SPAD yang hanya mensasarkan 40% penggunaan pengangkutan kawasan bandar pada tahun 2030.
    • Kerajaan Negeri Selangor memberi penekanan kepada pengangkutan awam dan menyokong pelaksanaan LRT, MRT dan BRT yang dikawal selia oleh Majlis Pengangkutan Awam Negeri Selangor.
    • Laporan Penuh Jawatankuasa Penyiasatan Awam Mengenai Cadangan Pemansuhan Hutan Simpanan Kekal yang terlibat yang telah di kemukakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) juga sebagai asas untuk pertimbangan Kerajaan Negeri untuk membuat keputusan.
    • Hutan Simpanan Kekal dibenarkan untuk digunakan bagi pembangunan, selaras dengan Seksyen 11(b), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, membenarkan ianya digunakan untuk kegunaan ekonomi yang lebih tinggi daripada kegunaan sekarang dengan syarat hendaklah diganti.
    • Jabatan-jabatan teknikal dan agensi berkaitan diminta meningkatkan dan memperketat tindakan pemantauan dan memastikan penguatkuasaan menjadi keutamaan mereka sepanjang pelaksanaan Projek EKVE ini.
    • Bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Y.B. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dianggotai oleh LLM, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (JPBD), JPNS, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS), LUAS dan PBT berkaitan. JPBD Selangor akan menjadi urus setia kepada Jawatankuasa tersebut.
    • JAS diminta menjalankan pemantauan terperinci ke atas kawasan sepanjang 6 km yang melibatkan kawasan Hutan Simpan Kekal dan kawasan tadahan air dan juga ke atas keseluruhan jajaran EKVE sepanjang 24km.
    • Kerja-kerja di tapak hendaklah diberhentikan serta-merta sekiranya didapati menjejaskan alam sekitar dan kualiti air di Ampang Water Intake; dan
    • LLM diminta menaiktaraf susur di Ukay Perdana sebelum Projek EKVE Fasa I dimulakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.