Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

181) LEBUHRAYA KINRARA Ð DAMANSARA (KIDEX)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju KIDEX sebelum projek ini mendapat kelulusan daripada Kerajaan Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor hanya terlibat setelah dimaklumkan keputusan dan kelulusan pelaksanaan projek ini oleh sekretariat Mesyuarat Kabinet pada 11 Mei 2011. Perbincangan lanjut antara 22 agensi yang melibatkan Kerajaan Persekutuan serta Negeri (agensi teknikal) di dalam Mesyuarat Teknikal 1 dan 2 yang telah diadakan pada 14 Oktober 2011 serta 8 Disember 2011 di Wisma LLM. Cadangan jajaran KIDEX yang telah dibincangkan serta dipersetujui di dalam Mesyuarat Teknikal 2.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 6/2012 yang bersidang pada 15 Februari 2012 telah menimbang dan bersetuju secara dasarnya dengan Projek Lebuhraya KIDEX dan jajaran-jajarannya mengikut Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976. Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Negeri dengan tegas telah menyatakan pendirian bahawa beberapa syarat perlu dipatuhi dalam pelaksanaan Lebuhraya KIDEX iaitu:-

    • Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
    • Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
    • Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal setelah permohonan di bawahSeksyen 3 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat; dan
    • Perkara disebut di atas diguna pakai bagi semua lebuhraya sedia ada atau yang akan dibina.

    Jajaran Lebuhraya KIDEX telah dilakarkan serta digazetkan di dalam Rancangan Tempatan (RT) MPSJ pada bulan Mei 2013 yang lalu. Selain itu, berdasarkan keputusan Mesyuarat State Planning Commitee pada 5 Mei 2014, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memasukkan jajaran Lebuhraya KIDEX di dalam Draf Rancangan Tempatan MBPJ dan melaksanakan Program Publisiti. Hasrat Kerajaan Negeri Selangor adalah supaya semua pihak yang terlibat termasuk orang awam dapat dilibatkan dalam pelaksanaan Lebuhraya KIDEX melalui maklumbalas dan cadangan yang dikemukakan melalui Town Hall Meeting.

    Sehingga kini, pihak konsesi KIDEX Sdn. Bhd. telah mengemukakan beberapa dokumen kepada pihak MBPJ seperti berikut :-

    • Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) dan Social ImpactAssessment (SIA);
    • Laporan Traffic Impact Assessment (TIA); dan i
    • Pelan Jajaran Lebuhraya KIDEX.

    Kerajaan Negeri masih belum memberikan sebarang kelulusan kepada pihak konsesi lebuhraya KIDEX bagi menjalankan kerja-kerja fizikal pembangunan sehingga perkara-perkara berikut diperolehi :-

    1. Kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
    2. Pewartaan Pengambilan Balik Tanah di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960.

    Pihak Berkuasa Negeri pada 22 Mei 2014 telah mengarahkan pihak KIDEX untuk melaksanakan Taklimat Awam (Town Hall Meeting) di kawasan Petaling Jaya.

    Perjanjian konsesi KIDEX telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan (Kementerian Kerja Raya) dan syarikat konsesi lebuhraya (KIDEX Sdn. Bhd.) pada 15 November 2013 dan dokumen perjanjian tersebut merupakan dokumen terkawal di bawah klasifikasi Sulit dan Terhad.

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dan menyambut baik usaha-usaha yang dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur – Klang, rangkaian rel seperti Mass Rapid Transit (MRT) dari Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51km yang mempunyai sebanyak 35 stesen selain dua (2) buah depot, dan projek sambungan Light Rail Transit (LRT) yang akan melibatkan laluan Kelana Jaya Line (KLJ) sepanjang 29km dan sebanyak 24 stesen, manakala laluan Ampang Line (AMG) sepanjang 27km serta mempunyai sebanyak 25 stesen.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.