Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

203) LEMBAGA URUS AIR NEGERI SELANGOR (LUAS)

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan struktur, pasukan pengurusan dan pengarah LUAS?

    1. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) adalah sebuah agensi kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sumber air (air mentah) negeri (air bumi, air permukaan dan pesisir pantai). Ahli lembaga pengarah LUAS terdiri daripada YAB Menteri Besar Selangor sebagai pengerusi, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai timbalan pengerusi, Pengarah LUAS sebagai setiausaha, dan beberapa ahli lain yang terdiri daripada Penasihat Undang-undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, dua (2) orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, serta lima (5) orang yang dilantik berdasarkan kepakaran mereka di dalam bidang pengurusan sumber

     

    Di bawah pimpinan Pengarah LUAS sekarang ( keempat), Tuan Haji Md. Khairi Bin Selamat; pasukan pengurusan LUAS terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu Bahagian Pembangunan dan Operasi, Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan serta Bahagian Khidmat Pengurusan. Bahagian Pembangunan dan Operasi meliputi aktiviti teras LUAS yang merangkumi pengurusan tujuh (7) lembangan sungai utama Negeri Selangor, pengurusan pesisir pantai, pengurusan air bumi, pengurusan sumber air alternatif, pengurusan kawalan pencemaran sumber air serta perancangan dan penyelidikan. Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan pula merangkumi pengurusan pendakwaan dan pelesenan serta penguatkuasaan. Manakala Bahagian Khidmat Pengurusan menguruskan hal ehwal pentadbiran, kewangan serta teknologi maklumat. Di samping itu, LUAS juga disokong oleh Unit Korporat dan juga Unit Audit Dalam. Pihak LUAS juga sedang merancang untuk proses pengukuhan organisasi untuk mendepani cabaran semasa dan akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.