Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

22) LESEN INDUSTRI BURUNG WALIT

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk pengurusan industri burung walit diluluskan?

    Untuk makluman Y.B Puan, Kerajaan Negeri telah pun mengaplikasikan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Dalam pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan agar pengurusan lesen industri berkenaan diletakkan di bawah Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian buat sementara waktu memandangkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Burung Walit masih dalam tindakan pengemaskinian.

    Selain itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT telah mengambil inisiatif bagi mewujudkan Garis Panduan Pelesenan Burung Walit Negeri Selangor yang lebih terperinci memandangkan pengurusan pelesenan burung walit adalah perkara baru dalam pentadbiran PBT yang kini menjadi tarikan kepada pengusaha. Secara dasarnya, Kerajaan Negeri telah pun bersetuju dengan garis panduan pengeluaran lesen baru namun perlu ditambah baik dengan mengasingkan isu pemutihan.

    Untuk makluman Y.B, Kerajaan Negeri sekali lagi dengan kerjasama PBT telah berjaya mewujudkan Garis Panduan Penguatkuasaan Penternakan dan Perusahaan Burung Walit bagi memastikan tindakan yang diambil oleh PBT ke atas kesalahan pengusaha industri burung walit adalah selaras. Buat masa ini, garis panduan berkenaan telah selesai sebanyak 80% dan masih dalam tindakan pengemaskinian.

Lampiran

Tiada Lampiran.